Kerajaan memulakan bayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Tambahan kepada 8.4 juta penerima secara berperingkat mulai hari ini membabitkan peruntukan berjumlah RM2.1 bilion, kata Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata daripada keseluruhan penerima, seramai 3.6 juta adalah isi rumah, warga emas sama ada bujang atau tiada pasangan (1 juta), manakala 3.8 juta lagi adalah individu bujang.
Menerusi BPR Tambahan itu, isi rumah berpendapatan RM2,500 dan ke bawah akan menerima RM500; isi rumah berpendapatan RM2,501-RM5,000 (RM300); manakala warga emas berpendapatan RM5,000 dan ke bawah serta individu bujang berpendapatan RM2,500 dan ke bawah menerima RM100.
“Pembayaran kepada semua penerima dibuat mulai 30 Jun hingga 2 Julai dengan cara dikreditkan terus ke dalam akaun.
“Penerima yang tidak mempunyai akaun bank, pembayaran dibuat secara tunai mulai hari ini melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) dan pihak bank akan mengeluarkan panduan prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kaedah pembayaran bagi penerima di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang tiada akaun bank akan dibuat secara tunai bersekali dengan pembayaran Fasa Tiga BPR melalui BSN dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Perbendaharaan Malaysia di kedua-dua negeri pada tarikh terdekat.
BPR adalah inisiatif bantuan tunai yang diperkenalkan kerajaan bagi memanfaatkan golongan B40 dengan pembayaran Fasa Satu dan Fasa Dua berjumlah RM4.68 bilion telah dibayar kepada 8.4 juta penerima masing-masing pada Februari serta Mei lepas.
Pada 31 Mei lepas, kerajaan mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Tambahan) bagi meredakan cabaran terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan menambah baik Program BPR.
Tengku Zafrul berkata mengambil kira pembayaran Fasa Satu, Fasa Dua dan BPR Tambahan, bantuan tunai yang disediakan sehingga kini kepada hampir 8.4 juta penerima adalah sebanyak RM6.78 bilion, manakala jangkaan pembayaran Fasa Tiga pada September ini dianggarkan berjumlah RM2.32 bilion.
“Secara keseluruhannya, peruntukan berjumlah RM9.1 bilion telah disediakan oleh kerajaan bagi pelaksanaan BPR yang telah dan akan disalurkan kepada golongan B40,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan