KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyarankan gedung beli-belah supaya memberikan moratorium kepada penyewanya demi kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata harapan sama juga dizahirkan kepada anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang masih tiada penetapan khusus, supaya memberikan moratoriumnya sendiri.
Katanya, MEDAC sudah berinteraksi dengan beberapa pihak berkaitan dalam usaha membantu usahawan dan pihak itu mengatakan kerajaan banyak membantu usahawan menerusi pengumuman yang dibuat.
"Kerajaan sudah bantu dengan Program Subsidi Upah untuk pekerja, pemberian moratorium bank oleh Bank Rakyat, SME Bank, koperasi usahawan dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) kepada peminjamnya.
"Namun yang tinggal adalah penyewa di bangunan di premis swasta, anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang ini belum mendapat penetapan moratorium," katanya pada sidang media mayanya hari ini.
Terdahulu, beliau mengumumkan MEDAC akan menggunakan peruntukan RM100 juta daripada Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bagi pemulihan khas membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Ini berikutan usahawan dalam bidang bukan perlu itu menghadapi cabaran getir berikutan perniagaannya yang terawal ditutup dan yang terakhir dibenarkan beroperasi susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 mulai tahun lalu sehinggalah penguatkuasaan sekatan pergerakan penuh pada ketika ini.
Wan Junaidi berkata, gedung beli-belah yang sudah bertahun meraih pulang besar disarankan supaya memberikan moratorium atau pengecualian yang berpatutan kepada penyewanya.
"Jika sesuatu gedung tiada penyewa, ia tidak mungkin dapat bertahan. Selepas sekian lama menjana keuntungan hingga belasan tahun, tidak mungkin mereka rugi jika berkorban setahun membantu peruncit kecil, mereka tidak akan terjejas.
"Ini supaya mereka dapat kekal di gedung itu dan apabila perniagaan kembali serta PKP dan konflik reda, gedung dapat mendapat kembali pulangannya," katanya.
Katanya, tidak mungkin gedung besar mengalami kerugian dalam tempoh setahun berikutan memberikan penangguhan bayaran tetapi langkah itu adalah untuk kebaikan bersama.
Sementara itu, Wan Junaidi berkata, beliau sudah mencadangkan kerajaan supaya mengklasifikasikan petugas barisan hadapan dalam bidang keusahawanan untuk diakui seperti petugas kesihatan dan keselamatan negara.
"Justeru pegawai yang sering berjumpa dengan orang ramai itu seperti petugas kaunter depan, kakitangan agensi serta peniaga kecil perlu perlu diberi keutamaan program vaksinasi.
"Justeru kelompok peniaga ini terutamanya perlu diberikan keutamaan
perlindungan vaksinasi. Saya sudah berbincang Menteri Penyelaras Program
Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin. Beliau memberi
jaminan membantu MEDAC memberikan vaksinasi mulai pertengahan Julai
apabila bekalan vaksin semakin banyak diterima," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan