PETALING JAYA: Pakej rangsangan PEMULIH yang diumumkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mampu memulihkan imejnya dan meredakan kemarahan rakyat buat sementara waktu, kata seorang penganalisis politik.
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, pakej berkenaan yang menyaksikan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh mengeluarkan wang sehingga RM5,000 dalam tempoh lima bulan di bawah skim i-Citra dan moratorium bersasar selama tiga bulan akan dapat “menyejukkan” hati rakyat walaupun ia sebenarnya menggunakan duit rakyat sendiri.
“Bagaimanapun, jumlah orang yang memerlukan bantuan makanan sangat besar dan diharapkan rasa tidak puas hati tidak timbul apabila mereka yang layak tidak mendapat bantuan cukup,” katanya kepada FMT.
Namun tambahnya, kerajaan harus memikirkan penyelesaian jangka panjang, berbanding langkah sementara dan bersifat populis hanya untuk memuaskan hati rakyat.
Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, pakej rangsangan terbaru menunjukkan bahawa kerajaan berusaha melakukan yang terbaik untuk membantu rakyat.
Katanya, dengan sumber kerajaan yang terhad setelah memberikan pelbagai pakej rangsangan, ia dapat mewujudkan satu pakej yang lebih menumpukan perhatian pada kumpulan B40 yang akan mendapat kebanyakan manfaatnya.
“Kerajaan memberikan RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen juga menunjukkan bahawa ia mengambil berat terhadap rakyat,” katanya.
Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, pakej rangsangan PEMULIH sebenarnya serupa dengan semua pakej sebelumnya.
Katanya, sebahagian besarnya adalah bantuan diri sendiri, yang bermaksud rakyat perlu mengeluarkan simpanan KWSP mereka sendiri atau membayar pinjaman kemudian dalam bentuk moratorium.
“Selain itu, semua wang yang diberikan untuk bakul makanan adalah untuk membantu kumpulan B40, tetapi berapa lamakah ini dapat membantu? Ia tidak mampan.
“Rancangan yang komprehensif diperlukan untuk mengatasi wabak dan benar-benar merangsang ekonomi,” katanya.
Beliau berkata, pakej itu hanya akan membantu rakyat buat sementara waktu tetapi tidak dapat meredakan kemarahan mereka terhadap kerajaan.
Pada Isnin, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej bernilai RM150 bilion untuk membantu individu dan perniagaan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0, yang dilanjutkan dua minggu lagi.
Dalam ucapannya yang disiarkan di televisyen, Muhyiddin berkata, pakej bantuan akan melibatkan suntikan fiskal langsung sebanyak RM10 bilion.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan