Selasa, 29 Jun 2021

Pengeluaran KWSP dibenarkan, moratorium 6 bulan tanpa syarat demi bantu rakyat


Pengeluaran KWSP dan moratorium enam bulan tanpa syarat kepada orang diberikan kerajaan bagi berdepan cabaran Covid-19 melanda negara.

Orang ramai akan dibenarkan membuat pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan menerima moratorium enam bulan tanpa syarat juga diberikan kepada semua peminjam individu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Perdana Menteri dalam pengumumannya berkata pencarum yang berhasrat untuk mengeluarkan wang simpanan mereka sekali lagi bagi menampung bebanan hidup mereka boleh membuat permohonan baharu bawah kemudahan pengeluaran baharu iaitu i-Citra.

“Maka dengan itu, bagi meringankan beban kewangan ahli KWSP yang terjejas akibat PKP, KWSP akan memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu iaitu i-Citra.

“Menerusi i-Citra, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5000 dengan kadar bayaran tetap RM1000 sebulan untuk tempoh lima bulan, tertakluk kepada jumlah simpanan KWSP ahli,” katanya semasa mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) hari ini.

Untuk rekod, kerajaan Perikatan Nasional (PN) antara yang terawal di dunia yang mengambil inisiatif dalam melaksanakan program i-Lestari, i-Sinar dan moratorium automatik untuk membantu rakyat dalam mendepani cabaran semasa pandemik Covid-19.

Langkah tersebut bertujuan bagi membantu aliran tunai rakyat sehingga kini dan ia menampakkan kesan positif dalam membantu kehidupan rakyat yang terjejas.

Permohonan tersebut boleh mula dimohon pada 15 Julai 2021, dengan pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan Ogos 2021. Pemohon boleh membuat permohonan di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my.

Berhubung moratorium, selepas pertimbangan dan penelitian mendalam dijalankan bersama pihak bank, kerajaan membuat keputusan untuk memberikan moratorium enam bulan secara automatik kepada segenap lapisan masyarakat yang memiliki pinjaman tanpa perlu lagi mengemukakan dokumentasi atau semakan seperti sebelum ini.

“Oleh itu, sukacita saya umumkan, dengan kerjasama pihak bank, moratorium enam bulan akan diberikan kepada semua peminjam individu, sama ada dari golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro.

“Tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada anda telah hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan,” ujarnya lagi.

Bagi tujuan ini, pemohon hanya perlu membuat permohonan kelulusan akan diberikan secara automatik.

Kemudahan ini juga ditawarkan kepada pengusaha PKS yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank.

Permohonan akan dibuka pada 7 Julai 2021. Peminjam hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman yang berkaitan.

Muhyiddin berharap dengan inisiatif terbaharu ini, orang ramai dapat meneruskan kehidupan dan peniaga-peniaga yang terjejas dapat menguruskan aliran tunai dengan sebaiknya semasa berdepan tempoh yang mencabar kali ini.

“Saya berharap inisiatif moratorium ini dapat sedikit sebanyak membantu peminjam individu dan PKS dalam menguruskan aliran tunai mereka semasa tempoh yang mencabar ini.

“Walau bagaimanapun, saya juga ingin berpesan gunalah tawaran ini dengan sebaiknya dan jika tidak mendesak, janganlah membuat tambahan komitmen kewangan lain,” katanya.

Tiada ulasan: