MALAYSIAKINI
PM umum pakej Pemulih RM150 bilion, terbesar sejak kuncitara
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan terbaru berikutan keputusan kerajaan melanjutkan fasa satu Pelan Pemulihan Negara.
Pengumuman tersebut disiarkan secara langsung pada jam 5 petang ini.
Semalam, Muhyiddin berkata fasa satu akan dilanjutkan sehingga kes Covid-19 kurang daripada 4,000 sehari, kapasiti katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) mencukupi dan 10 peratus penduduk diberi vaksin penuh.
Katanya, kerajaan akan mengumumkan bantuan yang lebih menyeluruh kepada semua golongan termasuk untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Negara hari ini mencatatkan lebih 5,000 kes Covid-19 untuk hari keenam berturut-turut, dengan Selangor kekal menjadi negeri yang merekodkan jumlah jangkitan tertinggi.
Menjelang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) bermula 1 Jun lalu, Muhyiddin mengumumkan bantuan ekonomi bernilai RM40 bilion di bawah inisiatif Pemerkasa Plus yang merangkumi suntikan fiskal langsung sebanyak RM5 bilion daripada kerajaan pusat.
Pada masa itu Muhyiddin berkata ia merupakan tambahan kepada pakej rangsangan yang diumumkan sebelum ini berjumlah lebih RM100 bilion.
Pemerkasa Plus menyaksikan tambahan RM2.1 bilion untuk program Bantuan Prihatin Rakyat, serta moratorium automatik selama 3 bulan atau boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama tempoh 6 bulan bagi B40, mereka yang hilang pekerjaan dan perusahaan kecil dan sederhana yang tidak dapat beroperasi semasa PKP.
Dengan pelaksanaan PKP 3.0, pelbagai pihak menggesa kerajaan memberikan lebih banyak bantuan, termasuk kebenaran mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah kemudahan i-Sinar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan