PETALING JAYA: Polis menahan seorang wanita selepas dipercayai memuat naik kenyataan menghina laungan azan dan masjid di Facebook, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Shafee Abd Samad berkata, tukang urut berusia 26 tahun itu tampil menyerah diri pada 11.30 malam tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.
Shafee berkata, polis menerima empat laporan berhubung kenyataan dimuat naik suspek yang mendatangkan ketidakpuasan hati orang Islam di negeri itu.
“Pengadu yang berada di rumahnya di sebuah pangsapuri di Perai pada 5.18 petang ternampak satu kenyataan menghina laungan azan.
“Terdapat juga kenyataan tanda pagar yang menghina masjid yang dimuat naik individu menggunakan nama Facebook ‘JULIA JJ II’,” katanya dalam kenyataan, menurut laporan Harian Metro.
Shafee berkata, tindakan suspek itu disifatkan tidak menghormati sensitiviti agama serta kaum dan perlu diambil tindakan yang tegas.
Suspek tiada rekod jenayah lampau dan dua telefon bimbit kepunyaan suspek dirampas untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan