PENDANG: Lebih 50 pelajar dari Kampung Bukit Tok Haji di sini kecewa apabila mereka tidak dapat mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dengan lancar berikutan capaian internet yang lemah di kawasan kampung tersebut.
Sebahagian pelajar di kampung itu terpaksa belajar di dalam kebun getah atau berpanas di tepi jalan utama di luar kampung untuk mendapat talian internet bagi mengikuti PdPR.
Terdapat juga dalam kalangan mereka yang terpaksa pergi ke rumah saudara-mara di luar kampung itu yang mempunyai talian internet lebih baik untuk tujuan tersebut.
Seorang pelajar, Muhammad Danial Iman Muhammad Ismail, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubur Panjang di sini berkata, dia bersama beberapa rakannya terpaksa belajar di dalam kebun getah milik bapanya di hujung kampung itu.
Menurutnya, kawasan kebun getah tersebut mendapat capaian internet lebih lancar berbanding di rumahnya.
“Saya dan beberapa rakan akan mengikuti PdPR di dalam kebun getah ini bermula pukul 10 pagi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Seorang lagi pelajar, Ahmad Arif Mohammad Rizuan, 17, dari SMK Kubur Panjang berkata, dia juga terpaksa mengikuti PdPR di sebuah pondok di tepi jalan utama di luar kampung ini yang mempunyai capaian internet lebih baik.
Menurutnya, dia terpaksa berada di pondok tersebut dalam keadaan cuaca panas untuk tidak ketinggalan sesi PdPR.
“Saya juga terpaksa pergi ke pondok tersebut pada waktu malam sekiranya memerlukan talian internet untuk menyiapkan kerja-kerja sekolah,” jelasnya.
Sementara itu, seorang penduduk, Nur Anis Nazira Md. Saad, 27,
memberitahu, dia terpaksa menghantar adiknya, Nur Anis Ayuni, 17, ke
rumah ibu saudaranya di Kampung Gha, Kubur Panjang pada
setiap hari persekolahan untuk mengikuti PdPR kerana kemudahan internet di kampung itu lebih baik.UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan