KUALA LUMPUR: Peniaga sayur di pasar borong Kuala Lumpur di Selayang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan kekurangan penguatkuasaan terhadap kedai tidak berlesen dimiliki rakyat asing di lokasi itu, yang dibimbangi mampu mencetuskan kluster Covid-19.
Tiga peniaga memberitahu FMT, terdapat sekitar 20 hingga 40 kedai dijalankan secara haram oleh rakyat Bangladesh serta Myanmar, malah juga pelarian.
Peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Tee berkata, pelanggan keluar masuk kedai berkenaan tanpa mematuhi SOP malah “kadangkala tidak memakai pelitup muka sekalipun.”
“Untuk memasuki pasar borong, pelanggan kami perlu membuat ujian swab. Namun bagi mengelak berbuat demikian, mereka berbelanja di kedai-kedai tak berlesen ini,” katanya.
Kebanyakan pelanggannya peniaga pasar tani, kedai runcit dan pengendali restoran.
Tee berkata, kedai tidak berlesen berkenaan kadangkala dipenuhi hampir 20 orang pada satu-satu masa.
“Kawasan kami ini berkemungkinan menjadi kluster Covid-19 jika tindakan tidak diambil,” tambahnya.
Beliau menggesa pihak berkuasa bertindak segera dan menutup kedai dijalankan warga asing bagi mengelak kluster seumpama itu akibat pelanggaran SOP.
Seorang lagi peniaga, Goh berkata 70% sayuran mereka terpaksa dibuang kerana pelanggan memilih kedai yang tidak berlesen untuk mengelak mematuhi SOP.
“Kami semakin rugi. Di bawah ‘lockdown’ penuh ini, waktu beroperasi kami terhad dan kini terpaksa pula berdepan dengan pendatang asing ini.
“Bagaimana kami akan meneruskan hidup?” katanya, dengan menambah peniaga-peniaga telah mengadu isu itu kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Kenapa pihak berkuasa sekadar menutup mata?” soalnya.
Pang, seorang lagi peniaga sayuran di pasar itu menggesa pihak berkuasa bertindak segera.
Katanya, kebanyakan warga asing terlibat sebelum ini bekerja dengan peniaga pasar berkenaan, namun kini membuka kedai sendiri.
“Mereka mengenali pelanggan kami, malah mempunyai nombor telefon mereka.
“Kini kebanyakan pelanggan kami pergi kepada mereka untuk mengelak SOP,” tambahnya.
FMT telah menghubungi DBKL dan menantikan maklum balasnya.
Pada Januari, 163 kes Covid-19 dilaporkan di Pasar Borong Selayang selepas ujian saringan diadakan selama lebih seminggu di bahagian sayuran, buahan serta ikan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan