GEORGETOWN: Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Sarjan Norihan Tari, 39, dijangka dibenarkan pulang ke kediamannya di Perak dalam tempoh terdekat setelah hampir dua minggu dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini sejak 25 November lalu.
Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA, Superintenden Rosman Kasman berkata, Norihan semakin menunjukkan perkembangan yang sangat memberangsangkan dan mempunyai semangat jati diri yang kuat.
“Kita telah berhubung dengannya sejak semalam (kelmarin) dan hari ini (semalam) bagi bertanyakan tentang keadaan kesihatannya. Dia sudah boleh bercakap dengan baik dan berjalan serta bergerak sendiri ke bilik air tanpa bantuan.
“Dia juga ada beritahu sudah tidak sabar untuk pulang ke rumah berjumpa dengan anak-anaknya serta rakan seperjuangan.
“Kita telah dimaklumkan oleh doktor yang anggota terbabit akan dibenarkan pulang ke kediamannya dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.
Akhbar ini difahamkan isteri Norihan telah pulang ke kediaman mereka di Perak kelmarin bagi membuat persiapan kepulangan suaminya itu setelah 10 hari berada di HPP.
Menurut Rosman, hanya sebutir peluru dapat dikeluarkan dalam pembedahan tempoh hari manakala dua lagi peluru masih di dalam badan.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, lawatan ke atas anggota terbabit masih tidak dibenarkan termasuk kawalan pelawat ke hospital berkenaan juga diperketatkan ekoran keadaan semasa penularan wabak Covid-19.
Khamis lalu, Norihan menjalani rawatan fisioterapi berjalan menggunakan bantuan alat reciprocal walking stick dan semakin menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani pembedahan membuang peluru pada bahagian perut pada 26 November lalu.
Dalam kejadian pada pukul 3.10 pagi, 23 November lalu, Norihan dan seorang lagi anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkena tembakan dipercayai oleh anggota kumpulan penyeludup ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar, Perlis.
Bagaimanapun, Baharuddin maut di tempat kejadian selepas ditembak pada bahagian kiri perut-UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan