Tanah Merah: "Saya bersyukur masih boleh makan dan minum, walaupun 11 tahun hidup bertemankan cahaya lilin dan menggunakan air sungai bagi menjalani kehidupan seharian," luah Siti Azlinda Rosli, 27.
Dia yang juga ibu kepada tiga cahaya mata berusia empat sehingga lapan tahun, serta suami, Mohd Khairul Azwan Mustafa, 27, tinggal di sebuah pondok usang milik bapa mentuanya, Mustafa Mat Hasan, 60, di Kampung Ayer Merbo, di sini.
Katanya, pondok yang didiami dibina di atas tanah milik saudara suaminya, walaupun serba kekurangan namun dia tetap bersyukur masih boleh meneruskan kehidupan seperti biasa walaupun di kawasan terpencil.
"Pondok usang ini terdapat dua bilik, cukup untuk keluarga saya dan bapa mentua. Setiap malam, kami sudah biasa 'bercahayakan' lilin tanpa angin kipas, selain makan dan minum sekadar apa yang ada.
"Suami saya mengambil upah bekerja kampung seperti memotong rumput, menoreh getah dan membuat rumah dengan pendapatan RM800 sebulan, bergantung kepada kerja yang dilakukan.
"Kami hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, selain masih tinggal tanpa bekalan elektrik dan air pada zaman serba canggih ini, malah saya sendiri tiada telefon bimbit hanya mengharapkan suami untuk berhubung dengan keluarga di Kota Bharu," katanya.
Dia ditemui pemberita ketika menerima kunjungan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tanah Merah, semalam, yang turut disertai Pegawainya, Mohd Khairul Azhar Mat Jurit.
Bapa mentua Siti Azlinda, Mustafa menerima wang Bantuan Orang Tua (BOT) sebanyak RM350 sebulan daripada JKM.
Tinjauan di lokasi kediamannya itu mendapati, pondok terbabit kelihatan daif dengan dinding dan atap yang bocor selain tidak mempunyai tandas selain hanya ruang tamu, bilik dan dapur yang sempit untuk enam beranak terbabit.
Siti Azlinda berkata, pondok terbabit dibina berhadapan air sungai yang mengalir dengan jarak lima meter sahaja, membolehkan dia membasuh pakaian, mandi, serta memasak dengan mendapatkan sumber air daripada sungai itu.
"Pondok kami dibina sedikit jauh di hujung sungai, jadi agak sukar buat kami sekeluarga ditambah pula dengan anak-anak yang masih kecil. Jika diikutkan, saya juga mahukan kehidupan yang lebih senang dengan rumah besar yang lengkap elektrik dan air tetapi reda kerana kami bukan orang senang.
"Selain itu, saya selalu ingatkan kepada tiga anak yang masih kecil supaya belajar bersungguh-sungguh supaya dapat mengubah kehidupan kepada yang lebih baik serta menitik beratkan pendidikan supaya mereka berjaya kelak.
"Saya akui, ramai yang bertanya, bagaimana saya boleh tahan hidup di kawasan hutan tanpa bekalan elektrik ini? Saya hanya jawab, kita perlu bersyukur dengan rezeki yang diberi selain tetap berusaha mengubah hidup ke arah lebih baik," katanya.
Bagaimanapun katanya, ramai yang datang ke kawasan pondoknya suka dengan suasana damai susulan berdekatan anak sungai dengan air yang mengalir jernih selain dikelilingi pokok-pokok hutan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan