Khamis, 31 Disember 2020

Perniagaan ‘kereta piang’ didalangi kongsi gelap: Ayob Khan

Siti Fatimah

 

Kereta yang ditarik tidak diserah kepada bank, sebaliknya dijual dan diletakkan pelekat khas

JOHOR BAHRU – Perniagaan menarik kereta yang tidak mampu dibayar oleh peminjam kepada bank (perniagaan kereta piang) kini dipercayai turut didalangi kumpulan kongsi gelap yang masih aktif di negeri itu, kata Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Mengakui perkara itu bukanlah satu perkara baharu, beliau berkata, ia adalah antara kegiatan yang dijalankan geng terbabit selain ativiti jenayah dan pengedaran dadah.

Perkara itu terbongkar susulan kejadian bunuh melibatkan seorang penarik kereta, dipercayai anggota kongsi gelap dari Selangor, yang didakwa berpunca daripada rasa tidak puas hati kongsi gelap lain dari Johor iaitu Geng Ngo Seek Kee, kerana memasuki kawasan mereka pada 20 Dis lepas.

“Geng Ngo Seek Kee ni dah lama (wujud)… dipercayai aktif sejak tahun 80-an lagi. Semalam kita dah dakwa lima orang di mahkamah dan kini masih mengesan seorang lagi suspek dikenali sebagai Tan Kim Bong berumur 36 tahun, yang dipercayai ketua sindiket berkenaan. Alamat terakhir di Batu Pahat, Johor,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, modus operandi perniagaan kereta piang menyaksikan kereta yang ditarik tidak diserahkan kepada bank sebaliknya dijual dan diletakkan pelekat khas serta hanya boleh bergerak di lokasi, kawasan atau negeri yang dikuasai kongsi gelap terbabit.

“Macam kes ini, mereka berebut kereta piang,” katanya sambil menambah bahawa pembeli atau pengguna akan membuat bayaran bulanan minimum RM100 kepada kumpulan kongsi gelap terbabit.

Beliau berkata, kumpulan kongsi gelap turut menyasarkan kereta mewah.

Ayob Khan turut mendedahkan lapan geng kongsi gelap masih aktif iaitu Geng 36 yang mempunyai 87 ahli diikuti Geng 04 (72 ahli), Geng 21 (91), Geng Jin Jee Tong 360 (71), Geng Hong Hong San (61), Geng Jjee It Hai 21 (25), Geng Gee Hong San 253 (71) dan Geng Double 7 (lima ahli).

“Pada 2018, banyak kita tangkap mereka untuk didakwa di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

“Ketika itu, kerajaan membuat keputusan untuk membebaskan mereka dan dituduh di bawah Akta Pertubuhan 1966 tetapi lepas mereka dibebaskan, mereka kembali aktif,” katanya sambil menambah aktiviti kumpulan terbabit kini turut tertumpu di daerah Batu Pahat.

Beliau juga berkata, polis terus memantau aktiviti kumpulan kongsi gelap terbabit dan akan segera bertindak sekiranya mereka didapati terlibat dengan jenayah. – Bernama

Tiada ulasan: