KOTA KINABALU: Seorang pekerja binaan warga asing maut apabila tertimbus bawah runtuhan tanah di Jalan Lama Tuaran, Bandar Sierra, di sini, petang tadi.
Dalam insiden kira-kira jam 4 petang, Sukirman Rappe, 43, dikatakan sedang menjalankan kerja pengambilan tanah menggunakan jengkaut sebelum tiba-tiba berlaku tanah runtuh.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.09 petang.
Susulan itu, katanya, sepasukan lapan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Rozam Shah Rahmat, dikerah ke lokasi bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS).
"Mangsa berjaya dikeluarkan daripada runtuhan tanah pada jam 5.12 petang oleh pasukan bomba, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian," katanya.
Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan