JOHOR BAHRU : Lapan individu termasuk seorang wanita ditahan setelah dikesan menceroboh Hutan Simpanan Kekal Panti, Kota Tinggi semalam.
Jabatan Perhutanan Negeri Johor dalam kenyataan memaklumkan, mereka didapati menceroboh Air Terjun Sungai Pelepah Kiri Hutan Simpan Panti setelah pihaknya melakukan rondaan bersepadu bersama Balai Polis Batu Ampat Kota Tinggi.
“Hasil rondaan tersebut, pasukan rondaan telah membuat tangkapan dan semakan mendapati lapan individu terdiri tujuh lelaki dan seorang wanita disyaki menceroboh Air Terjun Sungai Pelepah Kiri, Hutan Simpan Panti.
“Mereka kemudian telah dibawa ke Balai Polis Batu Ampat untuk diambil keterangan,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, susulan penahanan itu, mereka disiasat di bawah Seksyen 47 (1)(c) Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 Negeri Johor.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
“Kes ini telah diambil oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan Jabatan Perhutanan Negeri Johor serta akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Perhutanan Negeri Johor memohon kepada orang awam yang memperoleh maklumat berkaitan pencerobohan di dalam Hutan Simpanan Kekal untuk membuat laporan bersama bukti.
Langkah itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan dan tangkapan sekiranya laporan tersebut benar bagi mereka yang terlibat.
“Kami menasihatkan orang awam agar mendapatkan maklumat yang jelas berkaitan keperluan dan kaedah permohonan permit memasuki hutan simpanan kekal di Pejabat Hutan Daerah terdekat sebelum menjalankan apa-apa aktiviti.
“Jabatan bersama agensi penguatkuasa lain sentiasa menjalankan operasi pemantauan bersepadu bagi memastikan aktiviti pencerobohan hutan dapat dibendung di samping mengurangkan kemalangan berlaku di luar pengetahuan pihak berkuasa,” katanya. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan