Khamis, 31 Disember 2020

Pelajar IPT kembali ke kampus berperingkat mulai 1 Mac

Siti Hafidah

 

10 hari lebih awal untuk pelajar dari kawasan zon merah

BANGI – Semua pelajar tempatan institusi pengajian tinggi (IPT) dibenarkan kembali ke kampus secara berperingkat seawal 1 Mac depan.

Bagi pelajar dari zon merah, kemasukan adalah 10 hari lebih awal untuk menjalani proses pengasingan serta memastikan mereka bebas COVID-19.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, bagi IPT yang terletak di Sabah dan Sarawak, kemasukan pelajar tetakluk kepada prosedur yang ditetapkan kerajaan negeri masing-masing.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga telah meluluskan cadangan KPT untuk membenarkan kemasukan pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu di IPTA dan IPTS kecuali dari United Kingdom seawal esok.

“Pelajar antarabangsa perlu memenuhi syarat kuarantin wajib selama 10 hari sebelum masuk ke kampus,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keputusan bagi membenarkan kemasukan secara fizikal ini agar aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat dilakukan secara bersemuka dan atas talian.

Keputusan itu katanya selari dengan hasrat kerajaan dalam memastikan kualiti pendidikan tinggi negara terjamin.

“Kementerian menyeru agar pelaksanaan aktiviti akademik di kampus dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan dan mengutamakan langkah keselamatan.

“… serta mengamalkan pembudayaan norma baharu seperti sentiasa memakai pelitup muka, memakai cecair pembasmi kuman serta menjaga penjarakan fizikal,” katanya.

Pelajar yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan COVID-19 KPT yang beroperasi 24 jam di talian 03-8870 6777/6949/6623/6124 atau terus menghubungi IPT masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai tarikh dan jadual kemasukan ke IPT.

Tiada ulasan: