Isnin, 28 Disember 2020

KKM sedia kaji semula proses kerja siasatan aduan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia mengkaji semula dari semasa ke semasa terhadap semua proses kerja siasatan aduan kes buli membabitkan mana-mana doktor khususnya golongan pelatih oleh pegawai perubatan atau pegawai kanan kementerian itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata KKM yang memandang serius sebarang salah laku membabitkan kes buli, bersedia untuk mengkaji proses kerja siasatan itu termasuk struktur dan keanggotaan jawatankuasa supaya mencerminkan ketelusan serta keadilan proses siasatan dan keputusan siasatan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua kes salah laku sebelum ini disiasat jawatankuasa dilantik pada peringkat hospital atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

"Ada juga kes tertentu lebih serius dibawa untuk siasatan dilaksanakan oleh unit integriti KKM," katanya kepada BH di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kajian dilaksanakan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bahawa 66.9 peratus doktor mengakui pernah mengalami pengalaman dibuli atau diganggu ketika bertugas dalam sektor awam dengan golongan paling ramai berdepan situasi itu adalah mereka berusia antara 26 hingga 35 tahun.

Mengulas hasil kajian itu, Dr Adham berkata, pihaknya perlu tahu sama ada ia dijalankan secara menyeluruh atau rambang kerana dikhuatiri ia boleh dipertikai.

Pada masa sama, Dr Adham berkata, KKM komited mewujudkan suasana pembelajaran dan latihan perubatan yang profesional secara harmoni dalam sektor awam.

Justeru, katanya, KKM sentiasa memantau dan mengambil langkah proaktif menyediakan saluran aduan melalui pengarah hospital atau pengarah JKN.

"Mereka juga boleh menyalurkan aduan terus kepada pengurusan tertinggi KKM yang menerima sebarang kes salah laku buli.

"Setiap doktor pelatih juga boleh merujuk kepada buku garis panduan latihan oleh Bahagian Perkembangan Perubatan KKM yang jelas menerangkan tatacara pengurusan aduan apabila wujud kes kes buli," katanya.

Tiada ulasan: