Kuala Lumpur: Memeriahkan sambutan Tahun Baru 2021, Kelab Renang AMMJB Elite Swimmer menganjurkan acara renang di perairan terbuka sejauh 20 Kilometer (km) 21 meter, esok.
Renangan selama lapan jam itu bermula 8 pagi hingga 4 petang di Tasik Saujana Putra, Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, dekat sini.
Exco Komunikasi Korporat AMMJB, Mohd Yuzafi Yunos berkata, acara renang itu disertai sembilan peserta.
"Objektif penganjuran acara ini adalah untuk memartabatkan sukan renang Open Water di Malaysia.
"Memupuk semangat kesukanan di antara ahli kelab dan juga memberi pendedahan umum berkenaan sukan air yang bukan sahaja di kolam renang tetapi juga di laut dan di tasik (Open Water Swimming).
"Menerapkan ciri-ciri keselamatan semasa renangan dengan pemakaian Safety Buoy, life guard dan juga penjarakan fizikal," katanya.
Beliau yang juga Pegawai Seksyen Komunikasi Strategik, Unit Komunikasi Korporat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan, format renangan adalah bagi setiap tiga km renangan akan diadakan Pit Stop.
Menurutnya, Pit Stop itu membolehkan peserta untuk minum air dan refreshment (menyegarkan diri).
Mohd Yuzafi berkata, harapan AMMJB sukan air 'open water' menjadi sukan alternatif peringkat beginner hingga elite dan dapat melahirkan lebih ramai perenang Openwater di Malaysia.
"Antara peserta ialah Pengerusi AMMJB, Saiful Nizam Kamal Ariffin yang pernah mewakili Malaysia dalam acara World Championship Open Water Oceanman di Dubai pada tahun 2018," katanya.
"Kebanyakkan ahli AMMJB terdiri mereka yang pernah menyertai acara renang jarak jauh atau triathlon seperti Oceanman dan Ironman di peringkat antarabangsa mahu pun di dalam negara.
"Sungguhpun begitu, AMMJB sentiasa terbuka untuk menerima ahli baru yang berminat untuk mempelajari teknik renangan Open Water," katanya.
Beliau berkata, adalah menjadi kepuasan melihat ahli kelab dan orang ramai mampu berenang dengan cekap dan selamat di laut.
Ini sekaligus, katanya, juga boleh meningkatkan tahap keyakinan diri apatah lagi apabila ditimpa kemalangan atau situasi yang mencemaskan di kawasan perairan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan