Ahad, 27 Disember 2020

Lima lokaliti di Johor, Negeri Sembilan dikenakan PKPD

MGF220720_SIDANG-DEWAN-RAKYAT-28
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini mengisytiharkan lima lokaliti, masing-masing tiga di Johor Bahru dan dua di Negeri Sembilan diletakkan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa tengah malam ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas mendapati kes positif Covid-19 di lima kawasan berkenaan meningkat.

Kata beliau, tiga kawasan PKPD di Johor Bahru melibatkan Pusat Koreksional Johor Bahru (PKJB), Kuarters Kakitangan Batu 19 dan Dewan Arena Segitiga, Taman Desa Sejahtera, Mukim Kota Tinggi.

Dua kawasan PKPD di Negeri Sembilan pula ialah Penjara Jelebu dan Kuarters Kakitangan Penjara Jelebu.

Berhubung pelaksanaan PKPD di Pusat Koreksional Johor Bahru dan Kuarters Kakitangan, Batu 19, Jalan Ulu Choh-Pontian, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat lapan kes positif direkodkan dalam masa lapan hari bermula 16 sehingga 23 Disember lalu.

“Kesitu dikesan semasa Orang Kena Tuduh (OKT) hadir bicara mahkamah di daerah lain dan terdapat 685 orang dalam kalangan OKT serta kakitangan di PKJ yang terdedah kepada lapan kes positif tersebut.

“Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Pusat Koreksional Johor Bahru dan Kuarters Kakitangan, Batu 19 Jalan Ulu Choh-Pontian bermula 28 Disember 2020 sehingga 10 Januari 2021.

“PKPD ini akan melibatkan 937 tahanan, 322 anggota dan 128 ahli keluarga yang tinggal di kuarters meliputi 102 unit rumah,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Ismail Sabri, pelaksanaan PKPD itu untuk menghalang penularan Covid-19 di kalangan tahanan, pegawai dan anggota yang bertugas di PKJB serta mencegah penularan ke tempat tahanan yang lain.

Katanya, SOP PKPD di pusat tahanan itu sama seperti diumumkan sebelum ini, antaranya tiada pergerakan keluar masuk dan lawatan ahli keluarga tidak dibenarkan.

Bagi pelaksanaan PKPD Dewan Arena Segitiga, Taman Desa Sejahtera, Mukim Kota Tinggi pula, kata beliau, KKM melaporkan terdapat peningkatan jangkitan Covid-19 dikesan dalam kalangan tahanan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.

Sehingga kini, katanya, KKM telah melakukan 171 ujian saringan dan daripada jumlah itu 125 kes positif telah direkodkan dalam kalangan tahanan di lokap berkenaan.

“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Dewan Arena Segitiga, Mukim Kota Tinggi, Johor ini untuk menempatkan semua tahanan yang positif Covid-19 dari lokap IPD Kota Tinggi mulai 28 Disember 2020 sehingga 10 Januari 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk mengawal penularan Covid-19 dan saringan secara bersasar dapat dilaksanakan ke atas semua tahanan dan kakitangan yang terlibat,” katanya.

Mengenai PKPD Penjara Jelebu dan Kuarters Kakitangan Penjara Jelebu di Negeri Sembilan, Ismail menjelaskan, berlaku peningkatan kes positif Covid-19 melibatkan tahanan dan kakitangan di dua lokaliti berkenaan.

Ujarnya, sehingga 22 Disember lalu, KKM telah melaksanakan sebanyak 1,086 ujian saringan dan sebanyak 307 kes positif Covid-19 telah direkodkan, iaitu 305 kes di kalangan OKT dan doa kes Wadar.

“Atas nasihat dan penilaian risiko KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Penjara Jelebu dan Kuarters Kakitangan Penjara Jelebu ini bermula 28 Disember 2020 sehingga 10 Januari 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan dan kontak rapat yang terlibat untuk memastikan tiada jangkitan dalam kalangan komuniti.

“SOP PKPD di penjara ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk tiada pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga tidak dibenarkan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan penamatan pelaksanaan PKPD Flat Persiaran Paya Terubong, Relau, Mukim 13, Pulau Pinang berkuatkuasa hari ini.

Jelas beliau, kerajaan sebelum ini melanjutkan PKPD di kawasan itu bermula 7 Disember hingga 31 Disember ini.

Bagaimanapun, memandangkan kes positif di lokaliti itu menunjukkan trend penurunan dan tiada lagi sampel menunggu keputusan, maka kerajaan bersetuju menamatkannya pada hari ini, iaitu lebih awal daripada yang dijadualkan. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: