KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menafikan dakwaan rakyat Malaysia makan daging kuda, kangaroo dan babi yang dijual oleh syarikat menggunakan logo halal palsu.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, Jabatan Kimia Malaysia telah mengesahkan hasil pemeriksaan ke atas daging yang dirampas itu bukan dari tiga jenis haiwan berkenaan.
“Isu yang dibangkitkan seminggu dua ini ada syarikat kartel menjual daging kuda, kangaroo dan babi adalah tidak benar.
“Hasil dapatan yang kita perolehi dari Jabatan Kimia Malaysia, ianya bukan daging kuda, bukan daging kangaroo dan bukan babi.
“Terima kasih Jabatan Kimia Malaysia kerana percepatkan hasil pemeriksaan, bagi melegakan rakyat Malaysia, terutama umat Islam,” katanya menjawab usul dibangkitkan Ahli Dewan Negara mengenai kartel daging haram di Parlimen, hari ini.
Usul itu dibangkitkan Senator Asmak Husin yang meminta kerajaan bertindak segera bagi menghilangkan keraguan dan kebimbangan umat Islam, berikutan dikatakan telah memakan daging haram selama 40 tahun.
Beliau berkata, kementeriannya amat prihatin dan mengambil berat apa yang diviralkan dalam akhbar dan media sosial yang menyatakan ada beberapa perkara tidak diketahui rakyat sedang berlaku di luar sana.
Menurut Rosol, pihaknya juga sedang meneliti untuk mengambil tindakan ke atas pihak yang menyebarkan berita palsu mengenai isu kartel daging haram dengan sengaja memperbesar-besar kes berkenaan sehingga menakutkan rakyat.
Pada masa sama, beliau memberi jaminan, setakat ini dua syarikat pengimport daging beku yang terjamin bersih dan boleh digunakan tanpa was-was ialah syarikat Allana serta Ramly Burger.
Mengenai syarikat yang akan didakwa di mahkamah esok, Rosol berkata, syarikat itu berdaftar tahun 2014 dan mula terlibat menjual daging import pada tahun 2017.
“Persoalan 40 tahun rakyat Malaysia makan daging kuda, kangaroo dan babi adalah pembohongan,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan