Khamis, 31 Disember 2020

Sambutan tahun baru di ibu negara tak dibenarkan

Siti Hafidah

 

Sebarang himpunan di kawasan PKPB adalah salah: KPN

BANGI – Sebarang perhimpunan sambutan tahun baru khususnya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sama sekali tidak dibenarkan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memaklumkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak tiga permohonan bagi mengadakan sambutan tahun baru di ibu negara.

Katanya, perkara itu telah diambil maklum oleh Ketua Polis Kuala Lumpur dan keputusan menolak permohonan tersebut adalah berhubung kait dengan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

“Sekiranya permohonan ini diluluskan, kita bimbang akan menyebabkan kehadiran orang dalam kapasiti yang ramai hingga tempat tersebut menjadi padat.

“Saya tekankan sebarang perhimpunan khususnya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah salah,” katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, PDRM akan membuat rondaan pada malam ini bagi memastikan tiada sebarang perhimpunan sambutan tahun baru di mana-mana tempat.

“Sekiranya kita kesan masih ada yang ingkar untuk berkumpul, kita akan ambil tindakan kompaun,” tegasnya.

Tiada ulasan: