Selasa, 29 Disember 2020

KEMTA dikenakan PKPD bermula esok

KUALA LUMPUR – Pusat Koreksional Kamunting (KEMTA) di Perak akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermua esok hingga 12 Januari.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD tersebut disebabkan berlakunya peningkatan kes positif Covid-19 sebagaimana dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pelaksanaan PKPD ini bertujuan untuk mengawal kluster sedia ada dan menghalang penularan kepada banduan lain, kakitangan, ahli keluarga serta komuniti di luar KEMTA,” katanya menerusi kenyataan mengenai perkembangan terkini PKP di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, sehingga 24 Disember lalu, KKM telah melaksanakan 1,490 saringan terhadap tahanan dan daripada jumlah itu, 50 daripadanya didapati positif Covid-19.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, polis menahan seramai 142 individu kerana ingkar PKP dan kesemua mereka telah dikenakan kompaun.

Ujarnya, antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (78), tidak memakai pelitup muka (53), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (9) dan lain-lain (2).

Ismail Sabri turut memberitahu, seramai 16 pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup menerusi Op Benteng dan merampas tiga buah kenderaan darat.

Jelasnya, sebanyak 110 sekatan jalan raya (SJR) diadakan pihak berkuasa dengan tujuan untuk memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dikawal.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: