Ahad, 6 Disember 2020

Penghantar makanan maut digilis treler

Samadi Ahmad

GAMBAR hiasan

Sepang: Seorang penghantar makanan meninggal dunia apabila motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah treler sebelum mangsa digilis kenderaan berat berkenaan di Kilometer 27.2 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), berhampiran Pejabat Lebuhraya Malaysia (LLM), dekat sini, semalam.

Pada kejadian 3.30 petang itu, mangsa, Ibrahim Dasuqi Sudin, 23, berasal dari Bandar Baru Bangi, yang parah, meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, ketika kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Puchong ke Kajang.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, sebuah treler dipandu seorang lelaki berusia 35 tahun dan dalam perjalanan ke arah sama kemudian hilang kawalan.

Katanya, ia menyebabkan kenderaan berat itu terhimpit motosikal lelaki itu yang berada di kiri jalan, sebelum mangsa terjatuh dan berguling di bawah treler.

"Ia menyebabkan mangsa digilis treler terbabit dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

Dalam pada itu, Wan Kamarul Azran berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian termasuk mengesan saksi yang melihat kemalangan itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Difahamkan, mangsa sudah bekerja di syarikat penghantaran makanan itu sejak awal November lalu dan melakukan sebanyak 14 penghantaran kepada pelanggan.

Tiada ulasan: