Khamis, 31 Disember 2020

Bantah Jawi: Sikap antinasional Dong Jiao Zong makin menebal

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

 

Fahaman rasis pertubuhan Cina hanya gagalkan usaha integrasi nasional

BANGI – Pertubuhan radikal Cina, Dong Jiao Zong sewajarnya akur dengan keputusan Kementerian Pendidikan yang menetapkan pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi, akan diteruskan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dan Sekolah Kebangsaan (SK).

Menerusi kenyataan bersama dalam hantaran di Facebook Dong Zong pada 21 Disember lalu, Dong Jiao Zong mendedahkan hasil soal selidik yang mendapati hampir semua ibu bapa pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) membantah modul ‘pengenalan Jawi’ Tahun 4.

Pertubuhan itu mendakwa, 1,298 buah SJKC, 98.23 peratus (1,275) membantah pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Jawi dan hanya 23 buah SJKC yang bersetuju.

Dong Jiao Zong mendakwa, KPM sepatutnya mengetepikan langkah-langkah pelaksanaan yang dibayangi kontroversi – itu adalah perkara utama dalam semakan pengajaran dan pembelajaran Jawi.

Menyelar kenyataan pertubuhan radikal itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, Dong Jiao Zong tidak patut mempertikaikan pembelajaran tulisan Jawi di SJK kerana sekolah-sekolah ini mendapat bantuan daripada pihak kerajaan.

“Mereka patut akur kerana pembelajaran tulisan Jawi adalah dasar yang telah dimuktamadkan KPM

“Sebarang isu teknikal berkaitan pendekatan pengajaran perlu diselesaikan secara rundingan dan perbincangan yang harmoni,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Mengulas lanjut, Ustaz Azizee berkata, kedegilan pihak Dong Jiao Zong hanya menunjukkan sikap antinasional dan fahaman rasis mereka yang menebal.

“Sikap mereka ini akan menggagalkan usaha memupuk integrasi nasional dan semangat patriotisme,” katanya.

7 Disember lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Muslimin Yahaya, berkata pembelajaran Jawi akan diteruskan kerana keputusan Jemaah Menteri pada 14 Ogos tahun lalu memutuskan supaya pengenalan tulisan jawi tetap dilaksanakan di SJK dan SK.

Tiada ulasan: