KUALA LUMPUR: Tahun ini seharusnya meletakkan Malaysia dalam peta global sebagai negara maju berpendapatan tinggi.
Namun, sebaliknya berlaku apabila 2020 boleh dirumuskan sebagai tahun penuh pancaroba jika dinilai dari segi cabaran ke atas pertumbuhan dan daya tahan ekonominya.
Ia rentetan pelbagai cabaran timbul sejak beberapa tahun kebelakangan, sama ada pada peringkat global, mahupun yang berpunca dari dalam negara sendiri.
Pada peringkat global, kelembapan ekonomi mula dirasakan sekitar dua tahun lalu dengan ketidaktentuan hubungan perdagangan dicetuskan oleh konflik dua kuasa besar dunia, China dan Amerika Syarikat (AS), selain kemelut lain seperti Brexit serta kejatuhan harga komoditi.
Pada peringkat domestik pula, peralihan kepemimpinan negara pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyebabkan ketidakstabilan pentadbiran pada peringkat Persekutuan, elemen penting yang menjadi pertimbangan utama pelabur global untuk menyalurkan modal ke dalam sesebuah negara.
Harapan Malaysia bangkit daripada semua masalah dan cabaran yang ada seakan 'berakhir' lebih awal apabila kes pertama COVID-19 dikesan di Wuhan, China, sekitar November tahun lalu.
Kes pertama di luar China pula dilaporkan pada 13 Januari 2020 di Thailand sebelum Pertubuhan Kesihatan (WHO) mengisytiharkan darurat kesihatan awam dengan kes pertama di Malaysia dilaporkan pada 25 Januari.
Penularan COVID-19 peringkat global sejak akhir tahun lalu memberikan tekanan baharu kepada ekonomi Malaysia, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hanya mencatatkan pertumbuhan amat sederhana pada 2019.
Kelembapan itu berterusan pada suku pertama tahun ini apabila KDNK hanya berkembang 0.7 peratus untuk tempoh tiga bulan pertama 2020, prestasi ekonomi terburuk negara sejak krisis kewangan global lebih sedekad lalu.
Keadaan tidak menentu pada peringkat global diburukkan lagi dengan masalah politik dalam negara apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) mula berpecah.
Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan Perdana Menteri ketujuh dan menjadi Perdana Menteri Interim, menunggu kerajaan baharu dibentuk dan penggantinya dilantik.
Ketika menjadi Perdana Menteri Interim, Dr Mahathir sempat melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion pada 27 Februari bagi mengimbangi impak besar COVID-19 terhadap ekonomi global, termasuk Malaysia.
Pakej rangsangan pertama itu ditunjangi tiga strategi, iaitu untuk menangani impak COVID-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti.
Tan Sri Muhyiddin Yassin kemudian dilantik Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac selepas krisis yang menyaksikan penjajaran semula landskap politik di negara ini.
Dua minggu selepas itu, Malaysia melaksanakan langkah pembendungan penularan COVID-19 apabila kes penularan dalam negara semakin meningkat.
Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam empat fasa dari 18 Mac hingga 3 Mei, dengan sekatan pergerakan menyeluruh di seluruh negara, termasuk aktiviti ekonomi kecuali yang ditakrifkan sebagai sektor perlu.
Langkah julung kali dilaksanakan dalam sejarah negara itu jelas mempunyai 'harga' mahal untuk dibayar memandangkan aktiviti ekonomi dan pergerakan antarabangsa yang terhad menyebabkan negara menanggung kerugian RM2.4 bilion setiap hari sepanjang pelaksanaan PKP.
Muhyiddin dalam perutusan Hari Pekerja pada 1 Mei lalu, dilaporkan berkata, jumlah kerugian dialami kerajaan sejak PKP dilaksanakan adalah sekitar RM63 bilion.
Katanya lagi, jika sekatan menyeluruh diteruskan untuk tempoh sebulan lagi selepas itu, jumlah kerugian keseluruhan akan ditanggung kerajaan hampir mencecah RM100 bilion.
Implikasi sekatan pergerakan itu kepada landskap ekonomi negara menyebabkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melaksanakan beberapa siri rangsangan ekonomi bagi mendepani cabaran yang tidak pernah dihadapi sebelum ini.
Ia bermula dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan pada 27 Mac bernilai RM250 bilion, dengan tumpuan menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban ditanggung rakyat.
Dengan inti pati tiada golongan akan tercicir atau 'no one will be left behind', Perdana Menteri dalam ucapannya, menarik perhatian apabila memberikan analogi Makcik Kiah, penjual pisang goreng dalam kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).
Jumlah bantuan diterima keluarga Makcik Kiah antaranya merangkumi bayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN), bantuan pesara, bantuan tunai e-hailing, bantuan orang bujang, penjimatan sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR), penangguhan pinjaman kenderaan serta penjimatan bayaran bil elektrik.
Langkah fiskal kerajaan disusuli beberapa lagi siri pakej rangsangan seperti PRIHATIN Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan KitaPrihatin, keseluruhannya dianggar bernilai RM315 bilion.
Jumlah rangsangan besar ini menyebabkan kerajaan memutuskan untuk menaikkan had statutori hutang kepada 60 peratus daripada KDNK bagi memberikan ruang fiskal lebih besar menangani cabaran ekonomi.
Usaha fiskal oleh kerajaan turut disokong dasar monetari diambil Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengelakkan Malaysia terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi lebih teruk.
Langkah diambil bank pusat adalah menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), yang menjadi rujukan penanda aras kadar pinjaman institusi kewangan tempatan.
Keputusan itu diambil seawal mesyuarat pertama Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) tahun ini pada 27 Januari lalu, membabitkan sebanyak 25 mata asas atau 0.25 peratus.
BNM kemudian memotong OPR dalam tiga mesyuarat berturut-turut pada Mac, Mei dan Julai berikutan keadaan ekonomi masih lembap.
OPR diturunkan sehingga 1.75 peratus, yang terendah sejak paras lantainya ditetapkan pada 2004.
Satu lagi keputusan besar diambil BNM adalah moratorium pembayaran balik pinjaman kepada bank selama enam bulan bermula 1 April hingga 30 September 2020.
Langkah itu bagi meringankan beban ditanggung peminjam, selain membolehkan lebihan tunai dalam tangan bagi merangsang perbelanjaan domestik.
Di sebalik pelbagai pakej rangsangan dan bantuan dilaksanakan kerajaan, gelombang kemelesetan ekonomi global terus membadai Malaysia apabila KDNK pada suku kedua menguncup setinggi 17.1 peratus, prestasi paling buruk sejak krisis kewangan Asia lebih dua dekad lalu.
Firma tempatan, termasuk syarikat berkaitan kerajaan tidak terlepas daripada menanggung cabaran ekonomi itu apabila kebanyakannya mencatatkan keuntungan lebih rendah, malah ada yang merekodkan kerugian seperti syarikat minyak dan gas nasional, PETRONAS.
Bagaimanapun, sekatan pergerakan yang dilonggarkan bermula dengan PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) membolehkan hampir keseluruhan aktiviti ekonomi digerakkan semula.
Bagi mengimbangi antara kewajipan melindungi rakyat dan menjamin kelangsungan ekonomi, kerajaan merangka pelan pemulihan ekonomi secara berfasa menggunakan pendekatan 6R.
Ia merujuk kepada 'Resolve' (Ketegasan), 'Resilience' (Ketahanan), 'Restart' (Memulakan Semula), 'Recovery' (Pemulihan), 'Revitalize' (Memperkasa) dan 'Reform' (Menyusun Semula).
Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November lalu, antara lain tertumpu kepada usaha pemulihan itu yang juga kesinambungan kepada pakej PRIHATIN, PRIHATIN PKS Tambahan, PENJANA dan KitaPrihatin.
Bajet bernilai RM322.54 bilion itu, yang juga peringkat kelima strategi 6R, iaitu 'Revitalise', dirangka berdasarkan tiga matlamat induk iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam ucapan pembentangan Belanjawan 2021, berkata mengambil kira persekitaran semasa, pertumbuhan ekonomi 2020 disemak semula dan dianggar menguncup sebanyak 4.5 peratus.
Dengan langkah proaktif diambil kerajaan menerusi semua pakej rangsangan ekonomi, inisiatif Belanjawan 2021 yang disokong unjuran pertumbuhan ekonomi global lebih baik, ekonomi negara dijangka kembali pulih pada kadar antara 6.5 hingga 7.5 peratus tahun depan.
Malah, isyarat pemulihan itu mula dilihat pada suku ketiga 2020 apabila KDNK Malaysia hanya menguncup 2.7 peratus dalam tempoh Julai hingga September lalu, berikutan pelonggaran sekatan pergerakan dan pembukaan semula aktiviti perniagaan.
Sementara itu, kadar pengangguran yang memuncak sehingga 5.3 peratus pada pertengahan tahun ini juga mula berkurangan sejak beberapa bulan lalu.
Menuju ke penamat 2020, berita yang membabitkan kemajuan pembangunan vaksin COVID-19 sudah pasti amat ditunggu di seluruh dunia, tidak terkecuali rakyat negara ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, baru-baru ini juga mengumumkan jangkaan Malaysia bakal mula menerima vaksin pada suku pertama tahun depan.
Program Imunisasi Vaksin COVID-19 Kebangsaan akan membabitkan 82.8 peratus populasi rakyat Malaysia, dengan sejuta dos vaksin pertama diterima daripada firma farmaseutikal AS, Pfizer dalam masa dua bulan lagi.
Pembelian dos vaksin lain yang dipersetujui setakat ini adalah daripada AstraZeneca, Pfizer, Sinovac, CanSinoBIO dan The Gamaleya Institute (Sputnik V).
Berita ini sudah pastinya menyuntik keyakinan kepada rakyat untuk kembali kepada norma 'biasa', seterusnya menjalankan aktiviti ekonomi dengan lebih rancak.
Aktiviti ekonomi yang bukan hanya untuk menampung keperluan seharian isi rumah, malah menyumbang kepada daya tahan jangka panjang ekonomi negara secara keseluruhan.
Rumusannya, menggunakan falsafah teori Keynesian yang dibangunkan oleh sarjana ekonomi Inggeris, John Maynard Keynes, pendekatan yang dilaksanakan Malaysia dalam menghadapi krisis COVID-19 diyakini dapat membuahkan hasil dengan pemulihan akan dirasai awal tahun depan.
Ini diperkukuhkan lagi dengan statistik terbaharu dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia apabila ekonomi Malaysia dijangka terus berada di landasan pemulihan pada bulan-bulan terawal 2021 seperti yang ditunjukkan oleh Indeks Pelopor (IP).
Apa sekali pun cabaran yang mungkin dihadapi tahun depan, Malaysia perlu tangkas menanganinya bagi menjamin kesejahteraan rakyat secara umum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan