KUALA LUMPUR – Dalang di sebalik kartel penyeludupan daging import haram akan terdedah tidak lama lagi apabila sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bakal menyerahkan bukti kepada pihak polis hari ini.
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Hamdan Mohd Salleh mendakwa, dalang kartel daging haram sebenarnya melibatkan beberapa pemimpin sebuah parti politik yang dilakukan sejak 40 tahun lalu.
“Ada pembabitan sebuah parti politik terbesar di Malaysia dan sekutu mereka yang selama ini bersengkongkol untuk menjatuhkan industri sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti National Fidlot Corporation (NFC) Berhad.
“Ia bertujuan untuk mengagalkan perusahaan industri daging tempatan.
“Kami meminta pihak berkuasa segera membuka kertas siasatan dengan memanggil pemimpin politik yang terlibat dengan jenayah ini,” katanya pada sidang media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.
Sebuah akhbar harian awal bulan ini mendedahkan kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula dengan label serta cap palsu dan menjualnya dalam pasaran negara ini.
Perkara itu dibongkarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) yang mengenal pasti tiga jenama popular produk daging sejuk beku keluaran Australia yang diproses di sebuah kilang sejuk beku.
Dalam perkembangan sama, Hamdan bagaimanapun enggan mendedahkan butiran nama dan parti politik terbabit kepada umum, sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengumumkan perkara itu dalam masa terdekat.
“Nama parti yang terlibat kita telah serah kepada pihak berkuasa kerana perkara ini sangat besar yang pemimpin politik dengan kartel.
“Biarlah pihak berkuasa buat satu pengumuman untuk menjalankan siasatan. Perkara ini (butiran) saya tak boleh dedahkan sekarang kerana ia masih dalam siasatan polis,” katanya.
Ditanya tentang latar belakang pemimpin politik yang terbabit itu, Hamdan hanya memberi bayangan ia berkait rapat dengan isu NFC (Pusat Feedlot Nasional) sebelum ini.
“Kalau kita semak balik kes NFC, kita boleh tahu siapa pemimpin politik yang terlibat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan