Sabtu, 26 Disember 2020

ULASAN | Kartel daging: Mengapa dibiarkan?

Malaysiakini

ULASAN | Jika fakta mengenai kartel daging berlarutan selama 40 tahun itu betul, maka persoalan yang terungkap adalah: Mengapa ia dibiarkan?

Apapun, kita berikan tahniah dan penghargaan kepada wartawan NST di atas pembongkaran yang berani, objektif, bebas dan berpotensi membawa perubahan besar dalam sistem perolehan daging akan datang.Wartawan ini perlu dicontohi.

Untuk memahami gejala ini kita lihat status semasa industri daging. Tahap sara diri atau SSL daging lembu adalah 22%, nilai import RM3.8 bilion, eksport RM1.2 bilion, defisit perdagangan RM2.6 bilion, defisit tenusu RM2.6 bilion, pada tahun 2018. Nyata, permintaan memang kuat melebihi penawaran tempatan yang bergerak perlahan dan lembap berdekad dekad lamanya.

Kerajaan telah mengenal pasti 28 rumah sembelih yang sah di Australia, New Zealand, Argentina, Brazil, Pakistan dan Afrika Selatan, dan 11 rumah sembelih kerbau dari India serta Pakistan. 

Sijil sah import diberikan kepada negara pembekal seperti Australia, Argentina, Brazil, India, Afrika Selatan, Pakistan, Japan dan New Zealand.

Agensi yang terlibat dalam pemantauan adalah Jabatan Perkhidmatan Vetrinar, JAKIM, Kementerian Kesihatan (KMM), MAQIS, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDM) dan Polis Pelabuhan. SOP transaksi nampaknya jelas.

Isu yang kita hadapi adalah keselamatan daging import, integriti rantaian bekalan, loji penyembelihan tidak sah dan pemprosesan daging tidak halal.

Statistik utama yang mereka bongkar adalah seperti berikut. Sindiket kartel telah wujud dan beroperasi 40 tahun tetapi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) menafikannya. Purata import bulanan adalah lebih kurang 300-400 kontena dengan 25 mt daging beku setiap kontena.

Individu yang terlibat adalah pegawai kerajaan yang bersekongkol dengan syarikat bukan bumiputera yang bertopengkan nama Islam terlibat (secara proksi ) dan juga beberapa syarikat Bumiputera di semua peringkat rantaian bekalan. Sumber daging yang tidak sah yang dikesan termasuk daripada Kanada, United Kingdom, Uruguay, Sepanyol, Mexico, Bolivia, Paraguay, Hong Kong, China dan Columbia

Selain daging pejal, organ lain turut diseludup seperti paru, ekor, perut dan tulang leher dan pelbagai ternakan, kerbau, kuda dan kangaroo dengan kaedah sembelihan diragui.

Strategi sindiket adalah untuk mengelakkan cukai dan membayar kos sijil halal. Motivasi sindiket adalah mengaut keuntungan daripada harga import murah dan dijual mahal di pasaran tempatan

Proses penyelewengan bermula di loji penyembelih di negara pembekal, di mana pegawai kerajaan perlu memberi pengesahah halal dan kualiti. Apabila ini sudah dilaksanakan, aliran masuk yang lain adalah mudah dan licin.

Faktor masalah

Diagnosis masalah ini mengenengahkan hakikat berikut.

Pertama, faktor fundamental mendorong kepada import daging yang aktif. Ini kerana permintaan dalam negeri adalah kukuh dan terus meningkat tetapi penawaran dalam negeri lembap mendorong import yang tinggi dari luar negara.

Peniaga dan perantara melihat ini peluang pasaran (mengimport dan menjual dalam negara satu biznes yang lumayan).

Kedua, faktor struktur industri daging negara menyebabkan import yang berterusan. Kos pengeluaran dalam negeri tinggi walaupun daging yang dikeluarkan adalah segar, halal dan berkualiti tinggi.

Iaitu Malaysia gagal membina daya saing sektor ini lantas aliran masuk daging murah dari luar negara. Negara yang dikenal pasti sebagai pembekal sah adalah veteran yang sangat efisien seperti Australia, New Zealand dll.

Ketiga, kegiatan arbitraj adalah normal apabila terdapat jurang harga antara lokasi. Apabila wujud jurang harga, ia menggalakkan kegiatan arbitraj iaitu aliran dariapda kawasan murah kepada kawasan yang berharga tinggi (formal dan informal).

Sebagai contoh, terdapat 124 jeti haram di Kelantan yang melakukan penyeludupan gelap komoditi seperti beras, lembu, pinggan mangkok, tilam dsbnya. Ini berlaku kerana hara komoditi di Thailand adalah lebih murah dari Malaysia. Kegiatan ini telah wujud berdekad-dekad. Analogi yang sama dalam kes kemasukan daging ke Malaysia.

Keempat, persijilan kualiti, standard, kebersihan dan halal melibatkan kos kepada peniaga terutama masa dan kos birokrasi. Lazimnya persijilan menyukarkan peniaga.

Maka jika dapat dielakkan ia akan menjimatkan wang disamping memberi untung yang tinggi. Maka tidak menghairankan apabila mereka berusaha untuk menyuap pegawai kerajaan supaya mempercepatkan proses, menjimat kos dan meningkatkan untung.

Kesusahan dan kelambatan dan kos persijilan halal Malaysia perlu dikaji dari segi kecekapan dan kelicinan untuk menjawab persoalan ini.

Kelima, pegawai kerajaan yang menerima pendapatan yang rendah adalah terdedah kepada suapan daripada peniaga. Ia berterusan kerana mungkin selama ini tidak dikesan dan didakwa. 

Empat pegawai tertinggi kerajaan yang bersekongkol telah sekian lama tidak dikesan, ditangkap dan didenda. Lantas mereka terdorong untuk meneruskan kegiatan ini. Ini juga memberi implikasi bahawa sistem kawalan yang adalah lemah dan bocor di beberapa titik dalam rantaian bekalan daging ini.

Keenam, terdapat enam agensi yang terlibat dalam pengimportan daging. Mungkin ada pertindihan fungsi atau skop. Pertindihan birokrasi menyukarkan pelaksanaan kawalan.

Ketujuh, NGO pengguna negara yang berpotensi untuk mencetus perubahan, mungkin takut untuk bersuara atau tiada bukti empiris untuk berhujah.

Gabungan perkara di atas adalah faktor yang mungkin menerangkan mengapa kartel ini berlarutan sedemikian rupa.

Kesan terdahap dasar

Apakah implikasi polisi ke atas isu ini?

Pertama, kajian mendalam perlu di buat ke atas SOP dan realiti, siapa dalang sebenar dan di mana chokepoints/atau titik dan luang kelemahan dalam sistem rantaian bekalan sehingga berlaku penyelewangan besar ini.

Kedua, percepat tingkatkan pengeluaran dalam negeri melalui R&D yg lebih agresif dengan memberi penekanan kepada isu baka, masalah penyakit dan input lain yang diimport.

Ketiga, percepat keluarkan makanan ternakan tempatan. Malaysia mengeluarkan palm kernel cake yang sangat sesuai untuk ternakan tetapi masih dieksport sebahagian besarnya kerana harganya yang tinggi. Juga Malaysia memiliki bio-mass dan bahan buangan makanan yang tinggi yang boleh dijadikan baja organik untuk rumput dan makanan ternakan jika dikaji dengan rapi.

Keempat, koperasi ternakan di kuatkan. Kecil dan kerdil untuk berniaga memang susah dan sering termangsa. Ada beberapa koperasi lembu yang berjaya di Selangor yang boleh dicontohi. Yanag termashur adalah Koperasi Susu Amul di India yang mengubah status negaranya daripada pengimport susu terbesar dunia (1960an) kepada pengeksport susu nombor dua di dunia kini.

Kelima, model NFC atau National Feedlot Centre adalah tidak sesuai kerana ia memberi ruang besar kepada rent seeking seperti terbukti sebelum ini. Yang penting adalah pendayaupayan penternak lembu dengan ilmu, teknologi, dan bekerjasama dalam koperasi dan penerapan pendigitalan.

Keenam, buka AP kepada lebih ramai pengimport supaya lebih bersaing dan setara. Mengikut sumber yang perlu disahkan, terdapat hanya beberapa syarikat sahaja (kurang daripada 10) yang mengimport.Ini memberi mereka kuasa pasaran yang kuat untuk memilih kaedah pemasaran yang mereka pemilih tanpa sebarang reaksi dari pesaing.

Ketujuh, pendigitalan adalah game changer yang membuka ketelusan/transparency, kecekapan dan kesetaraan kepada semua pemain industri. Mungkin teknologi block chain agak terkehadapan buat industri ini , tetapi falsafahnya harus dicontohi.

Iaitu, semua transaksi dan perniagaan adalah telus/transparent dan tiada ruang untuk penipuan. Sebagai analogi kita ambil contoh perniagaan Lazada atau Shoppe yang telus hampir dalam semua perkara dan proses.

Pengguna tahu maklumat seperti : sumber, nama peniaga , harga, kualiti, penarafan/rating daripada pengguna, tracking bila sampai, kerosakan, status halal atau tidak dan juga komplen. Pengguna adalah pengawas yang efektif ke atas mutu komoditi yang diperniagakan dalam sistem sebegini. Semua maklumat termpampang untuk pengguna nilaikan.

Malaysia perlu mengambil beberapa falsafah perniagaan yang berkaitan untuk memperbaiki integriti terutama isu kualiti dan halal, kecekapan dan keadilan sistem untuk semua pemain.

Mulakan dengan pangkalan semua data pemain dan maklumat sosio-ekonomi mereka. Ini diikuti dengan data industri, perdagangan dll. Dan yang paling penting polisi baharu pembangunan sektor daging dan makanan yang lain.


(*) Fatimah Mohamed Arshad merupakan Ketua, Kluster Pertanian dan Sekuriti Makanan, Akademi Profesor Malaysia. 

Tiada ulasan: