Selasa, 29 Disember 2020

Isu kartel daging: Syarikat guna logo halal palsu pada kenderaan didakwa esok

Rosol Wahid (kiri) menafikan laporan mendakwa aktiviti kartel daging haram 
berlaku hampir 40 tahun.

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat pengimport daging sejuk beku yang dipercayai berkaitan kartel daging haram di Johor akan didakwa di mahkamah esok kerana menggunakan logo halal palsu pada kenderaan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Rosol Wahid.

Katanya, tindakan itu sekaligus menafikan dakwaan kerajaan cuba melindungi pihak dan syarikat terlibat dalam perkara yang menimbulkan keresahan umat Islam.

“Bukan kita tidak mahu mendedahkan syarikat terlibat, namun masalahnya perkara ini dilakukan sebuah syarikat pengumpul daging, yang kemudiannya menggunakan logo syarikat lain (mangsa) yang terkenal dan mempunyai permintaan tinggi untuk memasarkan produk itu.

“Kalau kita mendedahkan nama syarikat jadi mangsa itu, ia akan mencalarkan imej syarikat berkenaan, sedangkan itu bukan salah mereka,” katanya pada sesi penggulungan usul kartel daging haram oleh Senator Asmak Husin.

Lebih sembilan senator mengambil bahagian dalam sesi perbahasan isu itu, selepas Yang Dipertua Dewan Negara, Rais Yatim membenarkan usul itu dibahaskan mengikut Peraturan 17 (1).

Rosol menjelaskan kerajaan tidak pernah memandang remeh isu itu dan mengambil beberapa tindakan tegas terhadap pihak terlibat.

Ia termasuk membekukan aset syarikat bernilai RM1 juta itu, merampas 24 “rubber stamp” syarikat jenama yang mempunyai permintaan tinggi, menyita 5,000 keping pelekat halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan 2,428 kotak daging beku dianggarkan bernilai RM738,640.

Pada masa sama, beliau menafikan laporan mendakwa aktiviti kartel daging haram itu berlaku hampir 40 tahun.

“Tidak benar perkara ini telah berlaku hampir 40 tahun sebab siasatan kementerian mendapati syarikat terlibat baru mendaftar pada 2014 dan memperoleh lesen untuk mengimport produk sejuk beku pada 2017.

“Pada masa sama, ujian Jabatan Kimia terhadap sampel daging beku yang diambil daripada gudang simpanan itu mengesahkan ia bukan daging kuda, kangaroo serta babi, dan ini memberikan kelegaan kepada kita.”

Untuk mengelak perkara sama berulang, Rosol berkata, sebuah jawatankuasa perundangan dan penguat kuasa halal ditubuhkan bagi menyelaras tindakan serta isu penguatkuasaan halal dalam negara.

Tiada ulasan: