KUALA LUMPUR: Lagi kritikan dilemparkan kepada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang dikatakan harus lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan supaya tidak menyentuh sensitiviti mana-mana kaum dan agama dalam negara.
Timbalan Pengarah Strategi PKR, Datuk R. Ramanan berkata, Muhammad Sanusi seharusnya memberi keutamaan dalam menghormati semua kaum dan agama.
“Tugas seorang menteri besar adalah menjaga keharmonian negeri dan memastikan keselamatan semua kaum dan agama. Namun, tindakannya sejak kebelakangan ini menunjukkan sebaliknya.
“Sanusi harus dikritik atas kenyataannya mengenai Ahli Politik MIC dan DAP hari ini dan juga kenyataan tersebut menunjukkan bahawa beliau juga seorang yang mempunyai pemikiran cetek. Sanusi telah membandingkan rumah ibadat Hindu dengan dapur dan kawasan parkir,” katanya dalam satu kenyataan.
Baru-baru ini, Sanusi berkata, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bertindak mengikut bidang kuasanya dalam merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah, kerana dibina tanpa kelulusan beberapa tahun lalu.
Ramanan bagaimanapun membidas sikap Muhammad Sanusi yang seolah-oleh tidak mengambil kisah akan ketetapan fakta serta mengikut perasaan dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh membawa kepincangan dalam keharmonian rakyat.
“Saya ingin menasihatinya untuk tidak besar kepala dalam membuat kenyataan atau sekurang-kurangnya merujuk seorang penasihat.
“Janganlah tersasul atau gopoh mengeluarkan kenyataan seperti sebelum ini iaitu berkenaan nilai ringgit nadir bumi-bukan radioaktif (NR-REE) yang terdapat di negeri Kedah,” katanya.
“Pendidikan dan pembangunan sahsiah amat penting bagi keharmonian negara. Namun dengan adanya pemimpin seperti dia, jelas wujud prejudis di dalam sesetengah ahli politik. Kenyataan yang berulang-kali dibuat olehnya mengenai masyarakat India jelas menunjukkan ketidak pekaan sebagai pemimpin,” katanya. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan