Khamis, 31 Disember 2020

Rekod baru 2,525 kes COVID-19, 8 kematian

PETALING JAYA: Kes baru COVID-19 mencapai rekod tertinggi sejak virus itu tersebar ke Malaysia, dengan 2,525 kes dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 2,512 kes adalah penularan tempatan dan baki 13 kes import.

Katanya, lapan kematian dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan 471 pesakit meninggal dunia setakat ini.

Beliau berkata, seramai 1,481 pesakit sembuh hari ini, menjadikan semuanya 88,941 kes pulih daripada keseluruhan 113,010 kes COVID-19 sehingga kini.

Katanya, Selangor yang mencatatkan 1,205 kes kembali mendahului senarai kes harian tertinggi, diikuti Sabah (299 kes) dan Melaka (239 kes).

Hisham berkata, peningkatan kes di Selangor itu disumbang kluster dan saringan kontak rapat di lapangan, iaitu 995 kes.

Negeri lain yang mencatatkan kes baru termasuk Kuala Lumpur sebanyak 222 kes, Johor (194), Pulau Pinang (92), Negeri Sembilan (78), Labuan (63), Kelantan (37), Perak (33), Kedah (24), Terengganu (17), Pahang (15), Putrajaya (5), dan Sarawak (2).

Hampir semua negeri mempunyai jangkitan baru hari ini kecuali Perlis.

Ketika ini, seramai 23,598 pesakit sedang dirawat, dengan 60 daripada 131 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Lima pesakit lelaki dan tiga wanita berusia 39 hingga 79 tahun meninggal dunia hari ini.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: