BATU PAHAT: Seorang penjawat awam antara 16 individu ditahan polis kerana dipercayai terlibat mengadakan parti liar secara tertutup di sebuah hotel di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, dalam kejadian pukul 3.15 pagi, sebanyak10 lelaki dan enam wanita termasuk seorang pelajar kolej swasta berusia antara 17 hingga 34 tahun yang ditahan.
Menurut beliau, dalam serbuan itu, pihaknya turut menemukan beberapa biji pil dipercayai dadah jenis ecstasy dan eramin 5 serta sepeket plastik lutsinar dipercayai dadah jenis ketamin.
“Pemeriksaan ujian saringan awal dilakukan kemudiannya mendapati 10 daripada tangkapan berkenaan adalah positif dadah.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan jika didapati bersalah boleh dikenakan penjara maksima lima tahun dan denda RM20,000,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, selain itu, 15 individu yang ditangkap turut dikompaun RM1,000 berikutan melanggar arahan di bawah Peraturan 3 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2020. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan