KOTA TINGGI: Sebuah kapal tangki ditahan kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohamad Sulhan Zainon berkata, penahanan dibuat semasa kapal ronda Maritim Malaysia melaksanakan rondaan rutin operasi pada pukul 1 petang.
Katanya, pemeriksaan awal ke atas kapal yang berdaftar di St Kitts & Nevis, Basetterre itu dikendalikan 10 kru lelaki termasuk nakhoda yang semuanya berusia 24 hingga 55 tahun warga Myanmar, Filipina serta Bangladesh.
“Ketika ditahan kapal tangki bersauh pada kedudukan sekitar 11.3 batu nautika timur Tanjung Penawar.
“Pemeriksaan mendapati nakhoda kapal gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh dan ia kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
“Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM20,00 dan tidak melebihi RM100,000,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, maritim akan terus meningkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan kapal-kapal dalam perairan negara sentiasa terjamin.
“Para pengusaha dan ejen perkapalan khususnya di perairan Johor Timur, dinasihatkan mematuhi undang-undang,”katanya lagi. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan