MUAR: Seorang bayi berusia setahun terpaksa diselamatkan bomba selepas terperangkap lebih 30 minit di dalam kereta.
Dalam kejadian itu, bayi berkenaan terperangkap seorang diri dalam kereta Honda CRV di rumahnya di Jalan Junid di sini.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Muar, Pegawai Bomba Kanan II, Noralfatah Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.51 pagi ketika bapa saudara mangsa mahu menghantar mangsa ke taska.
“Selepas meletakkan bayi itu dalam kenderaan yang enjin belum dihidupkan, bapa saudaranya keluar mengambil beberapa barangan lain.
“Bagaimanapun, ketika datang semula untuk membuka pintu, didapati ia terkunci dari dalam.
“Bapa saudaranya percaya, bayi itu tanpa sengaja tertekan butang kunci automatik kereta,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Noralfatah berkata, bomba tiba bersama empat jentera dengan kekuatan 14 orang.
“Kami menggunakan peralatan khas bagi membuka pintu kereta itu. Difahamkan ketika kejadian, ibu dan bapa bayi berkenaan telah keluar namun bergegas pulang sebaik dimaklumkan oleh adiknya.
“Berikutan tiada kunci kereta tambahan, mereka telah berusaha membuka pintu kenderaan itu namun gagal,” katanya.
Katanya, bomba berjaya menyelamatkan bayi itu tanpa cedera. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan