Selasa, 8 Disember 2020

Pemandu lori maut kemalangan di Lebuh Raya Persekutuan

PETALING JAYA: Seorang pemandu lori maut, manakala isterinya cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 30.7 Lebuh Raya Persekutuan menghala ke Shah Alam, awal pagi kelmarin.

Dalam kemalangan kira-kira jam 2.39 pagi itu, Che Mubin Che Hisain, 42, yang tersepit pada tempat duduk pemandu lori yang dipandunya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at, berkata lori dipandu Che Mubin dalam perjalanan dari arah ibu negara ke Shah Alam, dipercayai dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta.

"Akibat pelanggaran itu, lori terbabit hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan serta tiang konkrit jejantas di situ, sebelum berpusing dan terhenti secara melintang di lorong ketiga lebuh raya.

"Sebuah lagi kereta yang kebetulan berada di laluan berkenaan gagal mengelak dan merempuh bahagian sisi kiri lori terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata, pemandu lori yang tersepit di tempat duduk pemandu disahkan maut di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), manakala isterinya patah tangan.

"Wanita berusia 32 tahun itu bersama seorang pemandu kereta yang cedera dihantar ke PPUM untuk rawatan, manakala seorang lagi pemandu kereta mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta.

"Kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung punca sebenar kemalangan itu dan kita mohon saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan polis," katanya.

Beliau berkata, saksi boleh menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Inspektor Mohd Hafeez Faesal A Aziz di talian 011-32311232 untuk membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tiada ulasan: