Selasa, 8 Disember 2020

Pusat beli belah Angsana Johor Bahru ditutup

JOHOR BAHRU: Pusat beli belah Angsana Johor Bahru, di sini, diarah ditutup tujuh hari bermula malam ini sehingga 14 Disember depan, berikutan penularan wabak COVID-19 di premis berkenaan.

Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu, berkata arahan penutupan pusat beli belah itu diputuskan selepas menilai risiko penularan wabak dan situasi semasa.

Dr Aman berkata, semua pekerja dan kakitangan bertugas di pusat beli belah itu diarahkan menjalani saringan COVID-19, sukarela bagi mengekang penularan wabak berkenaan dalam kalangan masyarakat.

"Arahan penutupan sementara pusat beli belah itu bermula jam 8 malam ini sehingga 14 Disember depan, bagi membolehkan kerja sanitasi dan nyahcemar dilaksanakan secara menyeluruh selain membolehkan pekerja premis menjalani saringan.

"Notis arahan penutupan sementara mengikut Subseksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sudah ditampal di pintu utama pusat beli belah berkenaan sebentar tadi," katanya ketika dihubungi.

Hari ini, Kementerian Kesihatan dilaporkan sudah menasihatkan sebuah pusat beli belah di Tampoi, di sini, ditutup sementara, susulan beberapa individu yang bekerja di premis itu disahkan positif COVID-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, dilaporkan berkata penutupan premis dibuat bagi membolehkan proses nyahcemar dan sanitasi dilakukan dengan lebih menyeluruh.

Sejak semalam, akaun Facebook rasmi pusat beli belah berkenaan dipenuhi komen netizen yang tidak berpuas hati berikutan luahan beberapa individu bekerja di situ yang disahkan positif COVID-19, kesal pengurusan pusat berkenaan tidak mahu menutup sementara kompleks berkenaan, tular di media sosial.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dilaporkan berkata, kluster baharu, Kluster Jalan Tampoi dikesan di Johor Bahru dan sudah menjangkiti 17 individu.

Semakan di akaun Facebook rasmi pusat beli belah itu menyatakan mereka sudah melakukan proses sanitasi dan nyahcemar di premis berkenaan pada 2, 4 dan 7 Disember lalu.

LIHAT VIDEO DI SINI

Berita Berkaitan

Tiada ulasan: