CHUKAI: Hujan berterusan sejak malam tadi menyebabkan beberapa kawasan rendah dan berhampiran sungai ditenggelami air, sekali gus menyaksikan peningkatan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah terjejas di Terengganu.
Peningkatan jumlah mangsa juga dikatakan berpunca daripada air pasang besar yang berlaku tengah malam tadi menyebabkan penduduk terpaksa meninggalkan rumah selepas dinaiki air sehingga melebihi 0.5 meter.
Statistik banjir dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menunjukkan jumlah mangsa di PPS bertambah seramai 172 orang menjadikan jumlah keseluruhan penduduk terjejas banjir adalah 6,305 orang daripada 1,663 keluarga di empat daerah, Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu, pagi ini.
Bilangan PPS juga bertambah daripada 47 tengah malam tadi kepada 49 buah.
Kemaman kekal sebagai daerah tertinggi bilangan mangsa yang terjejas banjir dengan jumlah yang dipindahkan meningkat kepada 5,108 orang membabitkan 1,238 keluarga di 25 PPS.
Dungun juga mencatatkan peningkatan jumlah mangsa dipindahkan dengan 381 orang daripada 104 mangsa ditempatkan di 10 PPS.
Sementara itu, di Hulu Terengganu juga berlaku peningkatan jumlah mangsa banjir apabila seramai 805 orang dipindahkan di 13 PPS membabitkan 318 keluarga.
Setiu kekal dengan 11 mangsa daripada tiga keluarga dipindahkan di PPS balai raya lama Kampung Bukit Nenas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan