Ahad, 20 Disember 2020

Ramai `naik angin’ tengok harga barang

Oleh Teon Eg

 

Bawang melambung mana Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penguna (KPDNHEP). Adakah kerajaan perlu lantik Menteri Bawang, baru masalah ini boleh diselesaikan.

Itu antara gelagat seorang wanita dipercayai suri rumah yang `naik angin’ ketika melihat tanda harga bawang ros kecil sebungkus RM8.90 di sebuah pasar raya di Selangor dua hari lalu. Berat bawang tersebut sekitar 500 gram. Jika sekilogram sudah tentu harganya RM17.80.

Cetusan rasa tersebut rasanya bukan hanya membabitkan wanita itu tetapi ia mewakili hampir semua penduduk Malaysia. Turut terbeban sudah tentu pemilik restoran mahupun peniaga makanan kecil-kecilan. Jadi sebenarnya ramai yang `naik angin’ apabila ternampak harga bawang dan juga harga barang lain yang ketika ini melambung-lambung.

Harga bawang ros kecil sebelum September sekitar RM4 hingga RM6 tetapi selepas itu melambung sampai ada mendakwa mencecah RM21. Rungutan mengenai harga bawang juga semakin kedengaran susulan kedatangan Krismas minggu depan. Belum lagi kita merenung sehingga menjelang sambutan Tahun Baru Cina pada Februari 2021.

Bawang tidak kira membabitkan etnik apa, setiap masakan memerlukan bawang. Jadi adalah rasional jika wanita di pasar raya tersebut `bising’ sehingga menyindir kerajaan melantik Menteri Bawang.

Sebelum ini, bawang ros paling laris digunakan suri rumah dan pengusaha restoran kerana harganya murah berbanding bawang Siam sekitar RM9 hingga RM14 sekilogram. Namun sejak kenaikan harga bawang ros, bawang Siam juga semakin mahal sekitar RM3 hingga RM5 bagi setiap sekilogram.

Menyelami harga barang, sebenarnya barang basah lain termasuk cili iaitu cili merah besar, cili merah kecil dan cili hijau juga tidak terkecuali. Kseimpulannya kenaikan harga barang-barang tersebut membuatkan orang ramai semakin terhimpit.

Daripada bawang, kini harga cili naik masing-masing melebihi RM20 sekilogram. Bukan itu sahaja, cili kering turut terkesan yang kini sekitar RM15 hingga RM18 sekilogram. Sebelum ini, harga semua cili segar gred sederhana bawah RM18 sekilogram manakala cili kering sekitar RM10 hingga RM14 sekilogram.

Justeru, pengguna sudah tentu mencari mana kerajaan atau lebih dekat dengan isu tersebut KPDNHEP. Tugas KPDNHEP jangan hanya nampak sempurna ketika mengiystiharkan senarai harga barang kawalan setiap kali menjelang perayaan.

Jika harga barang dan ditambah lagi harga petrol berterusan naik macam mana lagi cara rakyat berpendapatan sederhana mahu merancang kehidupan ditengah-tengah Covid-19 belum reda.

KPDNHEP kena  agresif menjaga nasib rakyat dan jangan memberi jawapan akan dipantau atau akan diselesaikan kerana jawapan tersebut sangat membosankan.

(*) Teon Eg ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

Tiada ulasan: