Isnin, 10 Ogos 2020

Kelantan warta 1,644 hektar tanah bagi penempatan, pertanian Orang Asli

Pewartaan kawasan seluas 1.644 hektar untuk penempatan dan pertanian Orang 
Asli itu mengambil kira kepentingan generasi ke-2 dan ke-3 masyarakat itu. 
(Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mewartakan kawasan seluas 1,644 hektar sebagai zon penempatan dan pertanian masyarakat Orang Asli di negeri itu.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ia melibatkan 8 kawasan perkampungan atau pos Orang Asli di Gua Musang dan sebuah kawasan di Jeli.

Kawasan di Gua Musang ialah Pos Jedip, Pos Belau, Kuala Wu, Kuala Lah, Kampung Mengrod, Kampung Perluk, Kampung Tuel, Kampung Galang dan Kampung Kelait, serta Kampung Sungai Rual di Jeli.

“Pewartaan kawasan ini adalah hasil cadangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa). Ada beberapa cadangan lain yang dikemukakan Jakoa, namun belum dapat dilaksanakan kerana beberapa masalah teknikal yang perlu diselesaikan terlebih dahulu,” katanya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini.

Beliau menjawab soalan Abdul Aziz Yusoff (BN-Nenggiri) sama ada kerajaan negeri mempunyai perancangan khusus untuk mewartakan tanah penempatan Orang Asli di Kelantan secara tersusun dan sistematik.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Pembangunan Wilayah, Kesejahteraan Rakyat dan Integriti negeri itu berkata, pewartaan tersebut turut mengambil kira kepentingan generasi ke-2 dan ke-3 masyarakat Orang Asli.

“Orang Asli ada hak tersendiri dan kajian kita mendapati mereka memerlukan 2 perkara penting, iaitu penempatan dan kawasan bercucuk tanam.”

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) sama ada pewartaan tanah itu turut membabitkan generasi ke-2 dan ke-3 masyarakat Orang Asli.

Tiada ulasan: