Isnin, 10 Ogos 2020

Hanya Putrajaya boleh umum PKPD, kata Ismail Sabri

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan negeri 
tidak boleh bertindak sendiri di bawah Akta 342 kerana ia boleh mengelirukan 
orang ramai dari segi pelaksanaan peraturan.

PETALING JAYA: Hanya kerajaan persekutuan mempunyai kuasa untuk membuat pengumumkan berkaitan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) selaras dengan Akta 342.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, negeri tidak mempunyai kuasa untuk bertindak sendiri dengan mengguna pakai akta tersebut kerana ia boleh mengelirukan orang ramai dari segi pelaksanaan peraturan.

“Ada sedikit kekeliruan apabila kerajaan negeri buat pengumuman sesuatu yang berkaitan dengan PKPD dan peraturan lain yang mendahului kerajaan persekutuan.

“Saya nak ingatkan rakan-rakan kita di negeri-negeri, Akta 342 merupakan akta persekutuan dan kerajaan negeri tidak mempunyai akta sendiri yang menyamai Akta 342, kecuali Sarawak. Negeri lain tidak ada.

“Jadi setiap peraturan hanya boleh dikeluarkan oleh kerajaan persekutuan berdasarkan Akta 342. Kesan daripada negeri mengumumkan peraturan tanpa kelulusan kerajaan persekutuan ialah ia tidak boleh dikuatkuasakan.

“Polis tak boleh tangkap individu dan kenakan kompaun kecuali diluluskan oleh kerajaan persekutuan.

“Kalau dalam PKPD biasa kita akan wartakan segala peraturan tersebut, tetapi dalam PKPD pentadbiran, ketua pengarah kesihatan boleh keluar perintah di bawah Seksyen 11(3),” katanya, merujuk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Ismail turut memberi contoh kekeliruan yang berlaku di Sabah di mana kerajaan negeri tidak boleh mengehadkan himpunan tidak melebihi 150 orang kerana kerajaan persekutuan menetapkan 250 orang pada satu-satu masa.

“Di Sabah misalnya ada pengumuman daripada kerajaan negeri yang mengatakan perhimpunan lebih 150 orang tidak dibenarkan. Ini menyalahi peraturan kerajaan persekutuan di bawah Akta 342 bahawa perhimpunan maksimum adalah 250 orang.

“Jadi kerajaan negeri tak boleh kata mereka hanya benar 150. Semua peraturan mesti dikeluar dari satu sumber, iaitu kerajaan persekutuan di bawah Akta 342.

“Saya harap kekeliruan ini tak berlaku lagi pada masa akan datang,” katanya.

Kerajaan hari ini menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar secara pentadbiran (Temco) di 2 kampung di Perlis berikutan penularan wabak Covid-19 daripada kluster Sivagangga.

Pelaksanaan Temco di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul itu bermula hari ini sehingga 31 Ogos 2020 dan melibatkan 191 buah rumah dengan 872 penduduk.

Tiada ulasan: