Khamis, 9 Julai 2020

Tanda kiamat: Zina bermaharajalela

HM Digital

GAMBAR hiasan

UMAT Islam hari ini berada dalam fasa getir atau tempoh ujian besar menghampiri kiamat dan perkara itu sudah dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW menerusi beberapa hadis sebagai petunjuk untuk semua umat akhir zaman.

Rasulullah SAW pernah menyatakan antara tanda-tanda hampirnya kiamat apabila berleluasa perbuatan zina dan pelakunya tidak lagi malu dengan perbuatan itu, malah bangga menunjukkan kelakuan mereka.

Hari ini, sedikit demi sedikit kita sudah melihat kenyataan berkenaan apabila wujud segelintir anak muda malah tidak mengira peringkat umur melakukan perbuatan terbabit tanpa rasa bersalah malah ada yang beranggapan ia adalah 'normalisasi' kehidupan moden yang digunakan.

Menerusi satu hadis, Nabi SAW bersabda: "Demi jiwaku berada di dalam kekuasaan-Nya, tidak akan hancur umat ini sehinggalah lelaki datang kepada perempuan, lalu dia menggaulinya (melakukan zina) di jalan. Orang yang paling baik antara mereka ketika itu ialah orang yang berkata, '(Lebih baik) sekiranya kamu menutupinya di belakang tembok ini (daripada melakukannya secara terang-terangan begini)." (Riwayat Abu Ya'la al-Haitsami – Lihat juga Majma' az-Zawa'id)

Daripada Saidina Anas Ibn Malik menyatakan Rasulullah SAW pernah bersabda: "Hari kiamat tidak akan terjadi sehinggalah berlaku ilmu diangkat, kebodohan meningkat, khamr (minuman keras) diminum, zina bermaharajalela, rosaknya lelaki, wanita semakin ramai berbanding lelaki..." (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Menerusi satu ceramah pendakwah terkenal, Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub menyatakan berdasarkan statistik tahun lalu yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kadar kelahiran anak luar nikah adalah 10 minit seorang bayi dan ia menunjukkan tahap perbuatan zina di negara ini adalah sangat membimbangkan.

Ia bertepatan dengan hadis Nabi SAW yang menyatakan bahawa antara tanda-tanda menghampiri kiamat adalah berleluasanya perbuatan zina hingga mereka melakukan di jalan-jalan.

Rasulullah pernah menasihatkan Saidina Ali RA supaya menjaga pandanganya menerusi satu hadis bermaksud: "Wahai Ali, janganlah kamu ikuti pandangan dengan pandangan (berikutnya) kerana sesungguhnya bagimu pandangan yang pertama (tidak salah jika terlihat perempuan ajnabiyyah umpamanya pada pandangan pertama) dan bukanlah bagimu pandangan yang terakhir (kerana ia berdosa)." (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

Tiada ulasan: