KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyasarkan untuk membuka semula pintu sempadan kepada pelancong antarabangsa menjelang 1 Sept ini, kata Timbalan Ketua Menteri, Christina Liew.
Beliau berkata, pembukaan semula itu akan dilakukan berdasarkan keadaan semasa pandemik Covid-19 dan nasihat Kementerian Kesihatan, selain mematuhi SOP ditetapkan.
“Kami menantikan pembukaan semula sektor antarabangsa (pelancongan), tetapi kami akan sangat selektif,” katanya selepas melawat pasar malam Api-api di Jalan Gaya malam tadi.
Liew yang juga menteri pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar Sabah, berkata agensi di bawah kementeriannya, terutama Lembaga Pelancongan Sabah (STB) selalu mengikuti maklumat berkaitan perkara itu dari negara lain.
Beliau berkata, kerajaan negeri sudah membuka semula sektor pelancongannya secara berperingkat dengan membenarkan operasi pasar malam di Jalan Gaya.
“Kami juga membuka kembali (aktiviti mendaki di) Gunung Kinabalu sejak 16 Mei dan menarik kira-kira 2,000 pendaki, kebanyakannya pengunjung tempatan.”
Mengenai pelancong dari China yang merupakan pengunjung paling ramai ke Sabah sebelum sekatan akibat pandemik Covid-19, Liew berkata, satu pertemuan akan diadakan bersama Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Liang Caide minggu depan bagi membincangkan perkara itu.
Katanya, bukan semua kawasan di China terjejas Covid-19 dan pertemuan itu antara lain akan membincangkan cara mempercepatkan kedatangan pelancong dari kawasan itu.
Dari Januari hingga November 2019, STB merekodkan 3.766 juta kedatangan pelancong yang kebanyakannya dari China.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan