MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida
Kamaruddin memaklumkan kepada sidang Parlimen pada 14 Julai 2020, bahawa
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) masih meneruskan
hasrat melaksanakan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan.
Beliau
memaklumkan bahawa pihak kementerian masih dalam penyediaan kertas
Kabinet dan membentuk dua jawatankuasa berkaitan pilihan raya itu.
Beliau menetapkan sasaran untuk membentangkan usul Pilihan Raya Kerajaan
Tempatan dalam sidang Dewan Rakyat, pada pertengahan 2021.
Buat
masa ini tidak ada satu asas kukuh yang dapat menyokong alasan bagi
cadangan menghidupkan semula Pilihan Raya Kerajaan Tempatan. Apa yang
pasti, pilihan raya ini akan banyak membazirkan wang rakyat. Beliau
sendiri menyebut bahawa pelaksanaan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan
dijangka menelan kos sebanyak RM2 juta bagi setiap PBT dan RM308 juta
secara keseluruhannya yang merangkumi 154 PBT.
Kos yang disebutkan ini adalah kos yang sangat minima. Dipercayai kos
sebenar jauh lebih tinggi. Tambahan pula kos yang dijangkakan itu belum
mengambil kira aspek perbelanjaan yang ditanggung oleh parti-parti dan
calon-calon yang bertanding.
Dalam keadaan negara yang terpaksa melaksanakan langkah perbelanjaan
yang berhemat akibat wabak COVID-19 ini, cadangan yang berteraskan
komitmen parti tertentu dalam Pakatan Harapan (PH) itu wajar digugurkan,
atau sekurang-kurangnya ditangguhkan. Ironinya, cadangan ini pernah
ditolak oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir sewaktu memimpin
Kerajaan Pakatan Harapan.
Pilihan Raya Kerajaan Tempatan, jika diadakan akan melemahkan fungsi
dan kuasa kerajaan negeri. Bahkan di beberapa negeri, tidak mustahil
akan berlaku pentadbiran kerajaan tempatan di ibu negeri yang tidak
sehaluan dengan kerajaan negeri. Dalam keadaan sistem Federalisme yang
mengehadkan kuasa kerajaan negeri kepada skop kuasa yang sedia terhad,
kehilangan kuasa langsung ke atas kerajaan tempatan akan melemahkan
kerajaan negeri.
Selain itu, jika Pilihan Raya Kerajaan Tempatan diadakan, timbul
persoalan berkaitan siapakah sebenarnya yang layak mengundi. Jika
kelayakan mengundi hanya diberikan kepada mereka yang tinggal di kawasan
dalam sempadan sesuatu kerajaan tempatan, ia merupakan diskriminasi
kepada ‘penduduk siang’ iaitu mereka yang datang dari luar, tetapi
bekerja di kawasan berkenaan. ‘Penduduk siang’ ini hakikatnya banyak
memberikan sumbangan kepada kemakmuran sesuatu kerajaan tempatan, dan
akan menerima kesan langsung akibat pembangunan yang dilaksanakan oleh
Pihak Berkuasa Kerajaan Tempatan.
Ringkasnya, tidak ada manfaat yang jelas untuk diteruskan cadangan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan. Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sepatutnya menumpukan usaha untuk membantu dan membimbing usaha untuk meningkatkan kecekapan PBT dari pelbagai sudut termasuklah dalam pengurusan jalan raya, tempat awam dan pengurusan sisa pepejal. Kementarian juga perlu memandang serius soal ketidakseimbangan antara PBT dari sudut sumber kewangan dan kekuatan jentera. Usaha-usaha ini boleh dilaksanakan tanpa perlu diadakan pilihan raya PBT yang tentunya akan mengorbankan banyak wang rakyat. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan