Rabu, 15 Julai 2020

Kadar penghunian hotel jadi pertikaian di Dewan Rakyat

Hotel mengalami penurunan penghunian kerana perintah kawalan pergerakan untuk
mengekang penularan Covid-19.

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini menyaksikan pertikaian antara Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) Nancy Shukri dengan seorang ahli Parlimen pembangkang berhubung kadar penghunian hotel pasca Covid-19.

Nancy berkata beberapa hotel menyaksikan peningkatan kadar penghunian dalam beberapa minggu lalu.

“Nampaknya hotel-hotel yang mula beroperasi begitu banyak sekali dan kadar penghunian kebanyakannya 75% dan 100%, seperti yang kita dapat maklum balas dari Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan lain-lain,” katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) mengatakan angka itu salah.

“Purata kadar penghuniaan 31%,” katanya.

Nancy Shukri

Nancy memaklumkan kementeriannya menerima data rasmi dari beberapa kumpulan termasuk MAH.

“Yang menerima laporan, bukan Yang Berhormat, yang menerima laporan setiap hari, setiap minggu adalah MOTAC,” tambahnya.
“Kalau laporan diberi kepada kita itu salah, itulah laporan yang kita terima.”

Beliau sebelum itu ditanya Ahmad Nazlan Idris (PN-Jerantut) apakah langkah tambahan untuk membantu industri pulih daripada langkah seperti penutupan sempadan akibat wabak Covid-19.

Nazlan juga ingin tahu jumlah kerugian dan kesan wabak kepada industri pelancongan.

Nancy melaporkan industri pelancongan antara sektor yang paling terjejas sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan pada pertengahan Mac kerana pelancong luar tidak dibenarkan masuk.

Pembatalan Kempen Visit Malaysia Year 2020 juga menyebabkan penurunan sebanyak 75% jumlah pelancong asing dan kerugian RM31 bilion, katanya.

Sementara itu, penurunan dalam perjalanan domestik menyaksikan kerugian lanjut sebanyak RM13 bilion.

Bagi sektor seperti penginapan, pengangkutan, pusat membeli-belah, restoran, konvensyen dan pameran, Nancy berkata ia melaporkan kerugian sebanyak RM45 bilion.

“Oleh sebab itu, berlaku kehilangan pekerjaan, punca pendapatan, pemotongan gaji, serta pembatalan tempahan produk pelancongan dan hotel.”

Beliau berkata kerajaan akan fokus kepada rancangan pemulihan.

Tiada ulasan: