Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan keputusan berkenaan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi mendapatkan penghakiman terus dalam saman tuntutan cukai berjumlah RM1.69 bilion ke atas bekas perdana menteri Najib Razak.
Hakim Ahmad Bache membuat keputusan itu selepas penghujahan kedua-dua pihak selama dua jam di mahkamah hari ini.
Ahmad Bache memberitahu peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah dan Peguam Kanan Persekutuan LHDN Abu Tariq Jamaluddin bahawa mahkamah akan mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan untuk membuat keputusan, dan surat pemberitahuan akan dihantar seminggu sebelum tarikh tersebut.
Pada 8 Mei lalu, mahkamah dilaporkan menetapkan hari ini untuk mendengar permohonan penghakiman terus oleh LHDN.
Penghakiman terus adalah apabila mahkamah membuat keputusan tanpa melalui perbicaraan penuh, iaitu antaranya tanpa mendengar keterangan saksi.
Dalam penghujahannya hari ini, Abu Tariq berkata mahkamah patut membenarkan permohonan itu kerana Najib masih boleh berhujah berhubung merit taksiran semula cukai dengan pesuruhjaya khas cukai pendapatan (PKCP).
Najib sebelum ini dilaporkan telah memfailkan taksiran semula cukai dengan PKCP.
Abu Tariq juga antara lain berkata permohonan penghakiman terus tersebut selaras dengan Seksyen 106(3) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Seksyen 106(1) akta tersebut menyatakan cukai yang perlu dibayar boleh didapatkan kerajaan menerusi prosiding sivil.
Seksyen 106(3) pula menyatakan mana-mana prosiding di bawah seksyen itu, mahkamah tidak perlu melayan sebarang rayuan bahawai jumlah cukai yang ingin didapatkan kerajaan antaranya sebagai berlebihan, dinilai secara tidak tepat, di bawah rayuan atau dinaikkan secara tidak tepat.
Bagaimanapun Shafee berkata saman yang difailkan LHDN bukanlah kes yang terang-terangan sesuai untuk penghakiman terus, menandangkan ada banyak isu pertikaian yang memerlukan pendengaran penuh di mahkamah.
Peguam veteran itu berkata antara isu tersebut adalah pandangan mereka bahawa wang yang dinilai LHDN didakwa sebagai wang derma dan maka tidak perlu dicukaikan.
Beliau merujuk dakwaan RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Najib, tetapi kira-kira AS$620 didakwa telah dikembalikan kepada penyumbangnya, yang menurut Shafee memerlukan pendengaran penuh di mahkamah.
Beliau juga mempersoal mengapa LHDN tergesa-gesa mahukan penghakiman terus, dengan mendakwa ia bersamaan dengan berlaku zalim terhadap Najib.
Kerajaan memfailkan saman itu pada 25 Jun tahun lalu. Saman itu menuntut RM1.69 bilion daripada Najib, dengan kadar faedah tahunan lima peratus bermula tarikh notis taksiran, serta ganti rugi kos serta relif lain yang dirasakan wajar oleh mahkamah.
Dalam pernyataan tuntutannya, kerajaan berkata Najib gagal membayar cukai pendapatan sejak 2011 hingga 2017 dalam masa 30 hari selepas notis taksiran dikeluarkan.
Maka, jumlah yang perlu dibayar naik 10 peratus setiap tahun.
LHDN juga berkata Najib telah diberi masa 60 hari untuk membuat bayaran cukai serta 10 peratus kenaikannya, tetapi gagal berbuat demikian.
Susulan itu, Najib dikenakan tambahan lima peratus kenaikan, menjadikan jumlah keseluruhan cukai pendapatannya kepada RM1,692,872,924.83.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan