KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) membuat penjadualan semula buat kali kedua takwim peperiksaan di bawah kementerian itu dengan tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kini dipinda ke 6 Jan hingga 9 Feb tahun depan.
Peperiksaan itu sebelum ini dijadual bermula 16 Nov hingga 7 Dis ini, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) yang sepatutnya bermula 23 hingga 30 Jun ini bagi ujian bertulis dan ujian lisan dipinda ke tarikh baharu iaitu 17 Ogos hingga 30 Sept ini.
Sesi pertama peperiksaan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) pula yang sepatutnya berlangsung pada 13 hingga 24 Mei ini bagi semester tiga dan semester satu akan dipinda kepada 3 hingga 14 Ogos ini dan 28 hingga 9 Okt ini.
Tarikh peperiksaan bagi sesi kedua untuk semester keempat dan semester kedua SVM juga dipinda iaitu masing-masing dari 21 Okt hingga 8 Nov dan 14 hingga 30 Okt ini kepada 18 hingga 29 Jan 2021 dan 17 hingga 28 Mei 2021.
Sementara itu, peperiksaan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu SVM dipinda dari 19 hingga 30 Okt ini kepada 16 Nov hingga 6 Jan depan bagi ujian lisan, manakala ujian bertulis yang dijadual pada 16 Nov dipinda ke 6 Jan depan.
Begitu juga bagi mata pelajaran Sejarah untuk SVM, ia dipinda dari 25 Nov ini ke 7 Jan tahun depan. Menurut kenyataan itu, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pula yang dijadual bermula 21 hingga 28 Okt ini, kini dipinda kepada 17 hingga 25 Feb 2021.
Bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kohort 2020, peperiksaan bagi semester dua yang dijadual pada 18 hingga 24 Nov akan diawalkan kepada 12 hingga 18 Ogos ini manakala bagi semester tiga pula, peperiksaan yang sepatutnya bermula pada 3 hingga 10 Nov ini dipinda kepada 1 hingga 9 Mac 2021.
Peperiksaan semester satu STPM 2021 bagi kohort 2021 yang dijadualkan berlangsung dari 25 Nov hingga 1 Dis ini pula dipinda ke 22 hingga 25 Feb 2021.
Sementara itu, Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa yang dijadual pada 22 Jun ini pula dipinda ke 4 Feb tahun depan manakala Mata Pelajaran Aliran Kemahiran (MPAK) dari 5 Okt kepada 18 Nov ini.
Menurut KPM, penjadualan semula itu dibuat bagi membolehkan pelajar mempunyai tempoh pembelajaran yang cukup dan dapat membuat persediaan rapi untuk menduduki peperiksaan.
“KPM telah mengambil kira keperluan untuk mengatur semula pelbagai aspek logistik bagi tujuan peperiksaan tersebut termasuk memperincikan tarikh permulaan sesi persekolahan bagi tahun 2021 yang akan dimaklumkan kelak.
“Penyusunan semula permulaan sesi ini penting bagi memastikan sesi persekolahan pada tahun hadapan berjalan lancar,” menurut KPM.
Penjadualan semula peperiksaan dibuat kali pertama pada 28 Mac lepas sebelum Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin pada 15 April mengumumkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini dibatalkan. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan