KOTA KINABALU: Seramai 49 orang dipindahkan selepas 7 daerah di Sabah dilanda banjir lewat malam tadi.
Seramai 18 mangsa ditempatkan di Dewan Kebudayaan Penampang dan selebihnya di Dewan Masyarakat Tun Said Keruak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taun Gusi II di Kota Belud.
Banjir itu berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak petang semalam hingga lewat malam.
Jabatan Pertahanan Awam berkata, ribuan penduduk di Penampang, Tuaran, Kota Belud, Keningau, Pitas, Kota Marudu dan Beaufort terjejas.
Katanya, 19 kampung di Kota Belud dinaiki air dan air sungai mencecah paras berbahaya.
Adun Kapayan, Jannie Lasimbang menggerakkan “tentera penyapu” untuk membantu membersihkan kawasan awam, sekolah dan rumah warga emas, orang kelainan upaya serta pesakit di Penampang.
“Bandar Donggongon dan kawasan sekitarnya dibanjiri air dan sejak malam tadi hingga pagi ini, banyak kawasan ditutup akibat paras air tinggi yang berbahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kedalaman Sungai Moyog mencecahkan paras berbahaya 9.11m malam tadi dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana daerah sudah diaktifkan.
Hujan sudah berhenti pagi ini, tetapi Jabatan Meteorologi meramalkan hujan lebat di kawasan pedalaman, panyai barat Sabah, Kudat dan Kota Marudu pada petang nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan