Isnin, 29 Jun 2020

Siapa yang lulus buku itu? – Pemuda Muafakat Nasional

Mohammad Arif Nizam
MGF29062020_LAPORAN-POLIS-JATA-NEGARA_11-681x454
Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah
Hamidi (tiga dari kanan) bersama EXCO Pemuda UMNO, Wan Muhammad
Azri Wan Deris atau Papagomo (dua dari kiri) dan Penolong Setiausaha
Pemuda Pas, Mohd Faizudin Zai (dua dari kanan) menunjukkan laporan polis
yang telah dibuat mengenai individu yang megubahsuai lambang Jata Negara
menjadi muka hadapan buku bertajuk 'REBIRTH' di Ibu Pejabat Polis Daerah
Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN

KUALA LUMPUR – Pemimpin sayap parti Barisan Nasional dan Pas mempersoalkan siapa yang meluluskan penerbitan buku yang bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance and Hope In New Malaysia’ , yang mana kulit muka depannya mempermainkan jata negara.

Mereka yang mewakili Muafakat Nasional turut hairan kerana berdasarkan maklumat awal, buku itu telah dijual di pasaran negara ini menerusi platform atas talian seperti Shopee dan Lazada.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo berkata, mereka masih menunggu keputusan daripada Kementerian Dalam Negeri sama ada buku itu mendapat kelulusan penerbitan.

“Kami dari Pemuda BN dan Pas menggesa KDN mengambil Langkah sewajarnya bagi menghentikan sebarang propaganda yang menghasut rakyat untuk membenci Jata Negara khusus kerajaan hari ini.

“Semua rekod seperti nama penulis dan syarikat penerbitan sudah diserahkan kepada polis dan berharap tindakan dapat diambil dengan tegas,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi bersama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdul Hamidi. Turut hadir, Penolong Setiausaha 3, Pemuda Pas, Faizuddin Zai.

MGF29062020_LAPORAN-POLIS-JATA-NEGARA_1
Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham
Abdullah Hamidi (kiri) bersama EXCO Pemuda UMNO, Wan
Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo selepas selesai
membuat laporan polis mengenai individu yang megubahsuai
lambang Jata Negara menjadi muka hadapan buku bertajuk
‘REBIRTH’ di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala
Lumpur. foto MOHD ADZLAN

Kulit buku itu menimbulkan kegusaran orang ramai kerana ia secara terang-terangan mempermainkan Jata Negara.

Buku yang disunting oleh penulis, Kean Wong itu mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara yang telah diubah suai sebagai penghias muka hadapan turut dikongsi di pautan laman sosial Facebook sebuah syarikat buku, Ilham Books.

Sementara itu, Mohamed Nizham berkata, laporan polis yang dibuat tidak melibatkan sentiment agama atau parti tetapi atas tanggungjawab rakyat Malaysia.

Jelas beliau, solidariti semua pihak perlu kerana Jata Negara adalah lambang kedaulatan Malaysia dan institusi tertinggi negara.

“Isu ini adalah sensitif dan kita sebagai rakyat Malaysia kena faham kerana ia sudah melampau apabila mula timbul bibit-bibit untuk menjadikan suasana tidak stabil.

“Tidak sokong kerajaan tidak mengapa kerana kita sebuah negara demokrasi. Tapi ini satu penghinaan kepada lambang negara dan laporan polis perlu dibuat.

“Kita minta kerajaan hari ini, Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, pihak polis dan agensi berkaitan, sila ambil tindakan tegas terhadap pereka yang menghina lambang negara.,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: