Selasa, 30 Jun 2020

Beku pekerja asing: MTUC syor gaji wajar RM2,700 untuk warga tempatan

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Susulan pembekuan pengambilan pekerja asing dan penambahan sekatan terhadap kalangan mereka yang telah bekerja di Malaysia, ia telah membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk warga tempatan.

Bagi menggalakkan penyertaan lebih ramai warga tempatan, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dilaporkan mencadangkan gaji kehidupan sebanyak RM2,700, terutama bagi pekerja di bandar besar.

Laman Free Malaysia Today memetik Setiausaha Agung MTUC J Solomon sebagai berkata, gaji itu antara langkah yang boleh diambil kerajaan dan majikan bagi memastikan tiada kekurangan tenaga kerja dalam sektor yang menggunakan ramai pekerja asing.

"Jika pekerja dibayar lebih baik, dan keadaan tempat kerja ditambah baik, tiada masalah untuk mendapatkan warga tempatan bagi kerja yang biasa dibuat oleh warga asing.

"Ribuan warga Malaysia dalam sektor kerja-kerja 3D (kotor, bahaya, sukar) di negara luar, seperti di Singapura, Australia dan Korea Selatan," katanya.

Terdahulu, Menteri Sumber Manusia M Saravanan mengumumkan pembekuan pengambilan pekerja asing sebagai langkah meningkatkan peluang pekerjaan warga tempatan yang terkesan dengan wabak Covid-19.

Bagaimanapun Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menyuarakan kekhuatiran bahawa pembekuan secara menyeluruh boleh menyekat pengembangan beberapa industri.

Solomon berkata lagi, kerajaan patut berusaha ke arah pelaksanaan gaji kehidupan berdasarkan kos sara hidup di kawasan pekerja tersebut.

"Misalnya, bagi mereka yang bekerja di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang, gaji bersih yang dibawa pulang sepatutnya tidak boleh kurang daripada RM2,000.

Ini bermakna gaji kasar sekurang-kurangnya RM2,700," katanya.

Selain itu, beliau berkata pekerja dalam 3D juga perlu diambil secara sepenuh masa dan bukannya menerusi kontrak jangka pendek, agar mereka boleh mendapat faedah seperti caruman KWSP, perlindungan Perkeso, perubatan dan tempat tinggal.

"Jabatan Tenaga Kerja perlu efektif dalam pemeriksaan mereka dan penguatkuasaan undang-undang bagi melindungi pekerja," katanya lagi seperti dipetik.

Pekerja asing di sejumlah sektor seperti pembinaan dan pembuatan kini tertakluk dengan peraturan yang lebih ketat susulan usaha kerajaan untuk mengekang Covid-19.

Di peringkat pentadbiran, DBKL telah melarang pengambilan pekerja asing di pasar borong Kuala Lumpur, dengan kekosongan dilaporkan telah diisi warga tempatan.

Tiada ulasan: