PENGUNJUNG pusat beli-belah kini hanya perlu mengimbas suhu badan di pintu masuk pusat itu sahaja.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri bersetuju saringan suhu badan tidak perlu dilakukan di setiap kedai di dalam pusat beli-belah.
"Namun pengunjung tetap perlu memberi butiran peribadi di setiap premis yang dimasuki di pusat beli-belah berkenaan bagi tujuan pengesanan kontak.
"Ia boleh dilakukan secara manual atau menerusi aplikasi MySejahtera selain cecair nyah kuman di setiap premis," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata, perkongsian nama dan nombor telefon perlu dilakukan kerana memudahkan proses pengesanan jika ada antara pelanggan adalah pembawa Covid-19.
"Kita tidak tahu ke mana hala tuju mereka, kalau ada kes Covid-19 dalam kalangan pelanggan, kita masih boleh membuat pengesanan orang yang bersama dengan individu positif Covid-19 tadi.
"Mungkin dia pembawa, kalau didapati melalui pengesanan mereka, akan mudah dihubungi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sebab itulah, kita masih lagi mewajibkan (memberi butiran peribadi) mereka sama ada secara manual atau menerusi aplikasi MySejahtera.
"Suhu badan pula diambil sekali di pintu masuk pusat beli-belah," katanya.
Menurutnya, peraturan sama juga buat hotel yang terdapat premis menjual cenderahati, restoran dan lain-lain, yang mana saringan suhu hanya di pintu masuk hotel sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan