1K SHARES | Share to Facebook |
Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Liew Vui Keong menyifatkan usaha Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk menyingkirkan speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat bagi mengelak usul undi tidak percaya terhadapnya dibentangkan.
“Bagi memastikan beliau dapat mengelak usul tidak percaya terhadapnya sebagai perdana menteri di Parlimen, beliau menggunakan kapasitinya sebagai perdana menteri untuk menyingkirkan speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat,” kata Liew dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Liew, usaha tersebut juga tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan dan melanggar doktrin pemisahan kuasa.
“Doktrin pemisahan kuasa dengan jelas menyatakan yang Eksekutif (Kerajaan), Legislatif (Parlimen) dan Kehakiman (Mahkamah) adalah tiga organ berbeza negara yang bebas antara satu sama lain.
“Satu organ tidak boleh dengan mudah masuk campur urusan (organ) lain. Malaysia mengamalkan doktrin ini,” katanya.
Semalam, timbalan speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming mengesahkan Muhyiddin telah mengemukakan usul untuk menggantikan Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Mohd Yusof dan beliau.
Nga berkata usul tersebut telah dimasukkan dalam agenda persidangan Dewan Rakyat yang bermula pada 13 Julai ini.
Usul tersebut memetik Perkara 57 (3) Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi: "Dalam masa apa-apa kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertua atau dalam masa Yang di-Pertua tidak hadir dalam mana-mana persidangan, melainkan oleh sebab Dewan Rakyat bermesyuarat buat pertama kali selepas suatu pilihan raya umum, maka seorang daripada Timbalan Yang di-Pertua atau, jika kedua-dua Timbalan Yang di-Pertua tidak hadir atau jika kedua-dua jawatan mereka itu kosong, seorang ahli lain sebagaimana yang ditentukan oleh kaedah-kaedah tatacara Dewan Rakyat, hendaklah bertindak sebagai Yang di-Pertua."
Bagaimanapun, ia tidak melibatkan seorang lagi timbalan speaker yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat, Rashid Hasnon.
Tambah Liew, tidak ada sebab untuk menyingkirkan Mohamad Ariff dan Nga, kerana kedua-duanya menjalankan tugas dengan profesional.
Ini katanya terbukti apabila anggota Parlimen pertama yang diarah keluar dewan selepas pilihan raya Umum ke-14 adalah wakil rakyat kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Tidak ada ruang berat sebelah. Tan Sri Dato’ Ariff sendiri adalah hakim Mahkamah Rayuan yang terbukti bebas. Apa yang perdana menteri hendak takutkan?” soalnya lagi.
Muhyiddin yang juga Anggota Parlimen Pagoh dilaporkan menyerahkan usul itu pada jam 4.50 petang semalam, sepuluh minit sebelum tempoh tamat berakhir.
Usul ini akan menjadi ujian pertama sokongan Muhyiddin di Dewan Rakyat sejak berkuasa pada Mac lalu.
Pada Mei lalu, Mohamad Ariff menerima usul tidak percaya anggota Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad terhadap Muhyiddin.
Bagaimanapun tidak diketahui bila usul itu akan dapat dibentangkan kerana urusan kerajaan kebiasaannya akan diutamakan semasa persidangan Dewan Rakyat.
Usaha untuk menggantikan speaker bukan kali pertama berlaku.
Pada Mei 2009, speaker DUN Perak V Sivakumar diheret keluar daripada kerusi speaker.
Dewan kemudian mengisytiharkan kerusi itu kosong dan memilih untuk menggantikan Sivakumar dengan R Ganesan.
Berikutan itu, Mahkamah Tinggi Ipoh memutuskan bahawa keputusan DUN Perak adalah "muktamad" dan "ditentukan secara adil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan