KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membiayai kos membaik pulih Wad Perubatan Perempuan Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang terbakar pada petang semalam.
Baginda memaklumkan akan melantik kontraktor bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan bermula dengan segera, yang mana kos pembaikan ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).
“Saya mahukan Pengarah Jabatan Kerja Raya, Pengarah Kesihatan Johor serta Pengarah Bomba Johor bersama membincangkan segera pelan pembaikan yang akan dilakukan oleh kontraktor.
“Selalunya kos pembaikan jika dilakukan kerajaan akan mengambil sedikit masa kerana terdapat sistem yang perlu dilalui dan saya tidak salahkan kerajaan, oleh demikian saya mahukan kerja-kerja pembaikan dilakukan segera,” titah baginda.
Menurut baginda, rakyat adalah keutamaan dan Yayasan Sultan Ibrahim Johor juga berfungsi membantu masyarakat dalam pelbagai cara.
Pada 2.50 petang semalam, Wad Perubatan Perempuan 1, HSA yang menempatkan 24 orang pesakit terbakar.
Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan serius dilaporkan berlaku.
Kejadian semalam merupakan yang kedua kali apabila Wad Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan pernah terbakar pada Oktober 2016 dan mengorbankan enam pesakit.-MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan