Sekolah-sekolah Agama di Perlis yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) diarah untuk mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) pengurusan sekolah yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang diumumkan oleh Kerajaan.
Dalam usaha itu, Jabatan Hal EhwalAgama Islam Negeri Perlis (JAIPs) sentiasa bekerjasama dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri dalam memastikan keselamatan pelajar dan warga sekolah sentiasa berada di tahap yang terbaik.
Demikian ditaklimatkan oleh Pengarah JAIPs, Dr Hj Hazman Hassan kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena keberangkatan baginda meninjau ke Maahad Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) di Tunjong, Beseri petang semalam.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Mudir MATRI, Hj Abdul Hadi Osman.
Terdahulu daripada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menunaikan Solat Jumaat selain menyaksikan penyerahan Surat Kebenaran Aktiviti Surau oleh JAIPs kepada pihak MATRI.
Baginda turut meluangkan masa melawat makmal sains dan mendengar taklimat SOP keselamatan yang disampaikan oleh Penolong Kanan Ko-kurikulum MATRI, Khairul Azhar Bashiron.
Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda mengingatkan agar seluruh rakyat Perlis jangan leka, sentiasa bersiap siaga dan terus mematuhi PKPP dan bekerjasama, lebih bertanggungjawab dan berdoa agar wabak COVID-19 ini berjaya ditangani dengan segera.
Untuk rekod, kini 95 peratus pelajar tingkatan lima dan enam sudahpun melapurkan diri sejak sekolah berkenaan mula beroperasi kembali tiga hari yang lalu. – SM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan